MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberi gambaran rakyat Malaysia berpeluang untuk menyambut Aidilfitri sekiranya terdapat penurunan kes jangkitan Covid-19 membabitkan varian Omicron dalam tempoh sebulan atau dua bulan akan datang. Beliau berkata, Malaysia berupaya untuk menguruskan gelombang Omicron sekiranya tiada peningkatan kes kematian dan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU). Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak memainkan peranan dengan menjaga tingkah laku seperti melakukan ujian kendiri Covid-19 termasuk mendapatkan dos penggalak dengan segera, susulan peningkatan kes yang mendadak berkaitan varian Omicron. Selain itu, katanya, turut digalakkan adalah vaksin bagi kanak-kanak yang berumur 5 tahun hingga 12 tahun. "Saya harap kita dapat menstabilkan pandemik ini dalam tempoh sebulan atau dua bulan akan datang. Negara-negara lain mengambil masa sebulan, dua bulan sebelum melihat gelombang Omicron turun. "Kalau kita mainkan peranan masing-masing, dapatkan dos penggalak dan mengalakkan anak-anak kita mendapatkan vaksin... insya-Allah kalau satu atau dua bulan Omicron ini turun, Selamat Hari Raya Aidilfitri," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media, petang Isnin. Khairy berkata, bermula 6 Februari lalu, Malaysia kembali mencatatkan jumlah kes positif melebihi 10,000 ribu kes. "Hari ini, bilangan kes Covid-19 positif yang dilaporkan adalah sebanyak 11,034 kes. Peningkatan ini bukan sesuatu yang luar jangka. "Situasi ini disebabkan penularan varian Omicron yang lebih mudah merebak. Peningkatan kes juga disaksikan di negara-negara lain di seluruh dunia," tambahnya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI