suria

Bas bawa pelajar USIM terbabas, tumpahan minyak atas jalan jadi punca?

Bas persiaran yang dinaiki pelajar terbabas sebelum melanggar sebatang pokok pada Selasa pagi.

MALANG menimpa sekumpulan pelahar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila bas dinaiki mereka terbabas pada pagi Selasa.

Dalam kejadian di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan itu, empat pelajar cedera selepas bas persiaran yang dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar sebatang pokok.

ARTIKEL BERKAITAN: Cedera rempuh bas, juara Tour de France dikejarkan ke hospital

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Raihan Che Mat berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 7.41 pagi dan tiba di lokasi lapan minit kemudian.

Menurutnya, ketika kejadian bas yang membawa 17 pelajar itu dalam perjalanan dari kolej kediaman ke kampus USIM.

"Bomba menerima maklumat sebuah bas dipercayai terbabas dan melanggar sebatang pokok kemungkinan akibat tumpahan minyak di atas jalan raya.

1441896

Antara pelajar yang terlibat dalam kemalangan itu.

"Sebaik tiba di lokasi, kami melakukan pembersihan minyak dan ada empat pelajar yang cedera telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk rawatan lanjut," katanya.

Ujarnya, empat pelajar terbabit cedera di tangan, pergelangan tangan dan ada yang cedera di bahagian tulang belakang.

Sementara itu Pusat Komunikasi Strategik USIM menerusi kenyataan memaklumkan, empat pelajar dibawa ke HTJ dan 13 pelajar lain dibawa ke Pusat Kesihatan USIM untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

"Pemandu bas cedera ringan. USIM akan terus memantau keadaan semasa pelajar yang terlibat dan urusan kebajikan mereka akan jadi keutamaan.

"Tindakan lanjut akan diambil selepas mendapat laporan penuh daripada pihak berkuasa," katanya. - Sinar Harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain