suria

Bayi baru lahir maut disyaki ditikam ibu berusia 15 tahun

Bayi lelaki yang cukup sifat tersebut dipercayai ditikam di bahagian kiri dada dengan objek tajam. Gambar hiasan

SEORANG bayi yang baru dilahirkan ditemui meninggal dunia dengan kesan tikaman dipercayai perbuatan ibunya sendiri dalam satu kejadian di sebuah rumah di daerah Kemaman, Terengganu pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, bayi lelaki yang cukup sifat tersebut dipercayai ditikam di bahagian kiri dada dengan objek tajam.

Menurutnya, ketika kejadian, ahli keluarga suspek yang tiada di rumah dan ibu berusia 15 tahun itu meminta bantuan rakannya untuk menghubungi petugas kesihatan bagi memaklumkan kelahiran bayi tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi lelaki maut dikelar ibu kandung

"Bagaimanapun, selepas pemeriksaan dibuat, petugas kesihatan mendapati bayi berkenaan sudah tidak bernyawa dan terdapat kesan luka di dada, dipercayai akibat ditikam," katanya pada Selasa.

Hanyan berkata, curiga dengan keadaan bayi tersebut, petugas kesihatan kemudian membuat laporan polis kira-kira jam 10 pagi dan suspek yang belum berkahwin ditahan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu polis telah mengenalpasti seorang lelaki yang dipercayai merogol remaja berkenaan.

"Mayat bayi malang ini telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut termasuk melihat kecederaan lain yang dialaminya.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 dan 376 Kanun Keseksaan," katanya. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain