suria

MMA yakin... langkah kerajaan tambah jawatan tetap mampu selesaikan isu doktor kontrak!

Kerajaan mengumumkan bahawa jawatan tetap akan diwujudkan merupakan satu berita baik buat doktor kontrak.

KEPUTUSAN kerajaan mewujudkan lebih banyak jawatan tetap bagi doktor kontrak akan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Koh Kar Chai menyampaikan ucapan terima kasih bagi pihak Gerakan Hartal Doktor Kontrak, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) dan Malaysian Medics International (MMI) susulan langkah kerajaan itu.

Menurut Dr Koh, pada masa ini terdapat lebih 20,000 doktor kontrak dengan lebih banyak penambahan setiap tahun.

“Selepas bertahun-tahun dibelenggu ketidakpastian, kami akhirnya melihat cahaya di penghujung terowong ke arah menyelesaikan isu lama pegawai perubatan yang berkhidmat secara kontrak dalam kerajaan.

“Kami tetap berharap lebih banyak jawatan dibuka setiap tahun.

“Jika tidak diurus dengan betul, ia akan kekal sebagai isu berterusan dan membantutkan pertumbuhan sektor kesihatan kita,” kata Dr Koh.

Dr Koh berkata pada masa ini terdapat lebih daripada 20,000 doktor kontrak dengan lebih banyak tambahan setiap tahun.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan 3,586 jawatan tetap doktor perubatan akan diwujudkan pada 2022, dengan tambahan 1,500 jawatan tetap untuk pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi dibuka setiap tahun dari 2023 hingga 2025.

“Kami memerlukan lebih ramai pakar, doktor dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menyokong saranan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan telah meluluskan permohonan ini, termasuk peruntukan tambahan yang diberikan oleh Kementerian Kewangan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Khairy juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan meneliti kenaikan pangkat doktor Gred UD47, menambah 800 jawatan tetap untuk pakar, manakala 70 jawatan doktor gigi akan ditawarkan mulai 2023.

Tambah Dr Koh, keputusan yang dibuat adalah tepat pada masanya kerana permintaan untuk penjagaan pakar adalah tinggi, lebih-lebih lagi apabila Malaysia mencapai status negara menua pada 2030.

“Pada masa ini terdapat kekurangan pakar dalam hampir semua pengkhususan. Semoga lebih banyak jawatan pakar akan ditambah ke arah sasaran mempunyai lebih 18,000 pakar di negara ini menjelang 2025.

“Kriteria pemilihan yang masih belum dinyatakan secara terperinci perlu telus, dengan proses rayuan disediakan bagi mereka yang tidak diberi jawatan tetap," katanya.

“Kami amat percaya bahawa dengan pendekatan komprehensif dan inklusif, isu ini boleh ditangani dengan lebih awal dari jangkaan,” jelas Presiden MMA.

Sementara itu, mantan Presiden MMA, Datuk Dr N.G. Baskaran bersetuju bahawa keputusan kerajaan itu adalah langkah yang tepat.

“Memandangkan doktor muda ini telah berkhidmat semasa pandemik Covid-19, pengumuman itu adalah pengiktirafan dan ganjaran untuk semua kerja keras dan dedikasi mereka.

“Walaupun pertambahan beberapa ribu jawatan baru tidak akan menyelesaikan isu doktor kontrak kerana masih banyak lagi yang perlu dilakukan, sekurang-kurangnya ia adalah berita baik untuk sektor kesihatan dan masa depan negara.

“Kami berterima kasih kepada Khairy Jamaluddin kerana memulakan perkara ini dalam masa singkat selepas beliau memegang portfolio Menteri Kesihatan.

“Kita masih perlu mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan. Tentunya peruntukan tambahan untuk pakar akan memudahkan doktor untuk mengikuti bidang pengkhususan masing-masing,” kata Dr Baskaran.

Selain itu, menurut Pegawai Pergigian Gred UG41 di Terengganu, Dr Kirubane Rajendran, 29, dia gembira untuk rakan sekerjanya yang tidak berpeluang diserapkan ke perkhidmatan kerajaan tetapi dilanjutkan kontrak mereka.

Dr Kirubane memperoleh ijazah pergigiannya dari Universiti Sri Ramachandra di Chennai, India, dan dalam kontrak sehingga November 2020.

“Satu-satunya perkara yang ada dalam fikiran semasa saya dalam kontrak adalah untuk sentiasa melakukan yang terbaik dan mempelajari pelbagai aspek dalam bidang kesihatan. Mendapat jawatan tetap adalah perkara yang diinginkan, tetapi kami juga perlu mempunyai pelan alternatif.

“Jika doktor kontrak mendapat sokongan dari segi kewangan daripada keluarga, maka mereka mempunyai pilihan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Tetapi tidak semua orang bertuah. Saya pernah berada dalam jawatan itu (kontrak) dan ia mematahkan semangat untuk bekerja keras, sedangkan jawatan tetap tidak diperoleh,” tambahnya.

Seorang pegawai perubatan berusia 27 tahun yang ingin dikenali sebagai Dr Sharifah pula berkata, ketetapan bahawa jawatan tetap dan pegawai kontrak kini layak memohon program pengkhususan adalah suatu harapan kepada perjuangan selama lima tahun.

"Semasa pandemik, kakitangan perubatan telah bekerja melebihi tahap maksimum. Kami berkongsi beban pesakit yang sama seperti rakan sekerja tetap dan bekerja pada masa yang sama,” kata lulusan Universiti MAHSA dan kini dalam kontrak keduanya.

Salah seorang kumpulan pertama doktor pada 2017 yang ditawarkan perkhidmatan kontrak wajib setahun, pegawai perubatan dikenali sebagai Dr Lim, berkata mereka dimaklumkan awal-awal lagi bahawa peluang untuk perkhidmatan tetap adalah rendah kerana tidak ada jawatan mencukupi.

“Kami sudah tahu bahawa persaingan adalah sengit. Kami dilayan secara berbeza daripada senior dan jika difikirkan semula, perlu ada lebih ketelusan dalam cara pemilihan pegawai tetap.

“Saya gembira apabila kerajaan melakukan sesuatu. Semua pemegang dokumen kontrak harus diberi peluang yang adil untuk ditawarkan jawatan tetap.

"Kami telah melihat ramai yang berpotensi besar meletak jawatan kerana keletihan atau tidak melihat masa depan dalam perkhidmatan kerajaan,” kata pegawai perubatan berusia 29 tahun yang memegang jawatan tetap di Perak sekarang

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain