suria

PM umum Malaysia buka sempadan bermula April... SOP lebih mudah, tak perlu kuarantin tapi ada syaratnya!

Malaysia bakal membuka semula sempadan negara pada 1 April 2022. -Gambar hiasan

KERAJAAN memutuskan sempadan negara dibuka pada 1 April 2022.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan tersebut dilakukan berdasarkan tiga perkara asas.

"Pertama, ia berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan Covid-19; keduanya, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara-negara lain dan ketiga, memberikan keselesaan kepada pengembara dan tidak merumitkan perjalanan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembukaan sempadan negara dijangka pada suku kedua 2022 - Khairy

"Yang paling penting, Malaysia sekarang adalah destinasi terbuka dan boleh dikunjungi semula," katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Sidang media tersebut turut disertai Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Dengan pembukaan semula sempadan negara ini, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa serta dibenarkan pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar.

"Dalam masa yang sama, rakyat luar negara dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan.

"Sebaliknya, hanya perlu muat turun dan aktifkan aplikasi MySejahtera dan melengkapkan pre-departure form melalui fungsi traveller dalam MySejahtera," katanya.

Bagaimanapun ujar Ismail Sabri, terdapat beberapa prosedur yang wajib dipatuhi sama ada rakyat Malaysia sendiri mahupun pengembara luar yang ingin masuk ke Malaysia, memandangkan penularan gelombang Omicron masih belum reda.

"Bagi yang telah menerima vaksinasi lengkap, tiada keperluan untuk menjalani sebarang tempoh kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan Covid-19 RT-PCR dua hari sebelum berlepas serta ujian RTK-Ag (profesional) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

"Bagi status vaksinasi lain seperti tidak menerima vaksin atas sebab perubatan dan tidak menerima sebarang vaksinasi, Menteri Kesihatan akan memperincikan prosedurnya untuk makluman umum esok (Rabu).

"Kementerian yang berkaitan juga akan mengeluarkan senarai SOP pembukaan sempadan negara ini secara lebih terperinci dalam waktu terdekat," jelasnya.

Sementara itu bagi negara yang masih menutup pintu sempadannya, kata Ismail Sabri, rakyat masih boleh memanfaatkan kaedah Vaccinated Travel Lane (VTL) yang telah dipersetujui kerajaan Malaysia dengan negara-negara yang berkenaan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain