suria

Nadma pertimbang bantuan kepada keluarga pesakit yang meninggal dunia akibat Long Covid-19

Nadma sedia mempertimbangkan bantuan kewangan kepada mereka yang meninggal dunia akibat kesan 'Long Covid-19'.

KELUARGA pesakit yang meninggal dunia akibat kesan Long Covid-19 berkemungkinan diberi bantuan kewangan, kata Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

"Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) tiada halangan untuk mempertimbangkan bantuan ini kepada mereka yang meninggal dunia akibat kesan 'Long Covid-19' selagi mana syarat yang ditetapkan itu dipenuhi,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Dr Abdul Latiff menjawab soalan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang) yang ingin tahu berapa ramai keluarga yang mendapat manfaat daripada Bantuan Khas Pengurusan Kematian RM5,000 yang diberikan kepada keluarga mangsa Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Berita baik! Bantuan Khas Covid-19 untuk golongan miskin tegar, B40, M40 dan bujang dibayar bermula 6 September

Amiruddin juga ingin tahu sama ada bantuan kewangan tersebut akan disalurkan kepada keluarga mereka yang meninggal dunia akibat kesan Long Covid-19.

Abdul Latiff berkata sehingga 28 Februari lepas, Nadma telah meluluskan 17,867 permohonan yang layak melibatkan jumlah peruntukan RM89.33 juta.

Tambahnya, terdapat syarat yang perlu dipenuhi sebelum permohonan bantuan berjumlah RM5,000 itu diluluskan.

Kriteria utama bagi mereka yang memohon bantuan itu, katanya, adalah waris perlu menyediakan sijil kematian individu di mana jelas tertulis 'Covid-19' adalah punca kematian.

Beliau juga berkata, Nadma tidak boleh mempertimbangkan pemberian bantuan kepada waris tanpa permohonan kerana pembayaran bantuan adalah melalui Electronic Fund Transfer (EFT) kepada akaun bank waris.

"Lantikan atau pemilihan waris yang akan menerima bantuan terbabit bagi pihak, perlu dipersetujui oleh kalangan ahli keluarga terlebih dahulu bagi mengelakkan timbulnya sebarang isu di pihak kerajaan," katanya. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain