ISTERI kepada salah seorang mangsa runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands Perak masih tetap menunggu 'kepulangan' suaminya walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari keempat. Malah, Wak Uda Bah Kim, 41, mengunjungi lokasi kejadian setiap hari dengan harapan dapat bertemu semula dengan suami, Itam Bah Lasoh, 43. ARTIKEL BERKAITAN: Runtuhan kuari: Mangsa mungkin terperangkap di kedalaman 'setinggi bangunan tiga tingkat' Katanya, seluruh ahli keluarganya turut mengharapkan suaminya itu ditemui walau dalam apa keadaan sekali pun. "Setiap hari saya dan anak-anak menunggu. Gerak hati saya kuat mengatakan bahawa suami masih selamat. Wak Uda bersama anaknya setia menanti kepulangan Itam yang masih terperangkap dalam runtuhan batu kuari. "Saya tetap akan tunggu setiap hari sebab nak jadi orang pertama lihat dia keluar dari runtuhan batu itu. Anak-anak ikut sama ke lokasi untuk melihat dari jauh kerja-kerja menyelamatkan bapa mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui berhampiran lokasi kejadian bersama empat anaknya pada Jumaat. Menurut Wak Uda, dia sentiasa tertanya-tanya mungkin ketika ini suaminya sedang lapar dan kehausan dan begitu berharap lelaki yang jadi tonggak utama dalam keluarga itu segera ditemui. Tambah Wak Uda, suaminya memang merancang membawa anak-anak mereka bercuti memandangkan ketika ini cuti sekolah tetapi keadaan tidak mengizinkan. "Kami sekeluarga bergantung harap kepada dia. Kami sangat risau jika dia tidak ada tambahan pula anak-anak akan ikuti sesi baharu persekolahan. Dalam pada itu, bapa mentua mangsa, Bah Kim Kipak, 64, turut ke lokasi kejadian membawa Wak Uda dan cucu-cucunya. - Sinar harian Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI