suria

Dakwaan letak jawatan Menteri Kewangan, ini jawapan Tengku Zafrul

Tengku Zafrul menafikan laporan Utusan Malaysia pada Khamis.

SENATOR Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menafikan beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Tengku Zafrul merujuk kepada laporan sebuah akhbar tempatan yang bertajuk 'Tengku Zafrul letak jawatan Menteri Kewangan?'

"Ini berkaitan dengan pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2021 (2022) oleh Timbalan Menteri Kewangan I, YB Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah di Parlimen.

ARTIKEL BERKAITAN: Hati saya dah berpunya, tak minat nak cari yang kedua - Tengku Zafrul

"Sebenarnya, ini memang berdasarkan perancangan kita. Tahun lepas pun, Timbalan Menteri Kewangan juga yang bentangkan, atau mungkin Utusan Malaysia buat-buat tak tahu, tak ingat atau tak kisah?

"Mereka boleh saja minta pengesahan dari pejabat atau pegawai saya. Saya mohon, kalau boleh, adillah sikit bila buat laporan media. Gunakanlah kuasa pena anda untuk menceritakan hal yang betul, bukan menghebahkan khabar angin," tulisnya menerusi hantaran berkenaan.

Sementara itu, mengenai isu ketidakhadiran di Parlimen semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) pada pagi Khamis, Tengku Zafrul berkata beliau perlu menguruskan hal kecemasan peribadi.

"Saya ingin menjelaskan bahawa ada sedikit kecemasan peribadi yang terpaksa diuruskan pada pagi ini, dan perkara ini telahpun dimaklumkan semalam (16 Mac).

"Tiada niat untuk tidak menunaikan tanggungjawab saya menjawab soalan sebagai Menteri Kewangan," ujarnya.

Jelas Tengku Zafrul, mengikut prosedur operasi standard (SOP) soalan MQT, hanya Menteri sahaja yang boleh memberikan jawapan.

"Ini bukan pertama kali seorang Menteri diminta untuk membacakan jawapan Menteri lain. Banyak precedent on this. Terima kasih YB Menteri Agama kerana membacakan jawapan saya.

"Semua soalan tambahan akan saya sediakan jawapan secara bertulis, dan saya meminta maaf kepada YB Padang Serai serta YB Tumpat dan YB Pokok Sena (yang bertanya soalan tambahan) atas kesulitan yang telah berlaku," tulisnya.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan Tengku Zafrul didakwa meletak jawatan selepas ketiadaannya di Dewan Rakyat untuk membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2021 (2022).

Ia dikaitkan dengan kenyataan Tengku Zafrul dalam temu bual dengan media tempatan sebelum ini di mana beliau sanggup meletak jawatan daripada berkompromi dengan sebarang keputusan membabitkan Kementeriannya yang difikirkan salah, termasuk pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain