suria

Sebar berita palsu suntikan vaksin Covid-19, polis buru Liyana Razali

Liyana diburu kerana gagal hadir ke mahkamah bagi pertuduhan berkaitan kenyataan tidak benar mengenai vaksin Covid-19. Foto: Sinar Harian

SEORANG wanita bernama Liyana Razali kini diburu pihak polis ekoran kegagalannya hadir ke mahkamah bagi pertuduhan berkaitan kenyataan tidak benar yang dikeluarkannya mengenai suntikan vaksin Covid-19.

Wanita terbabit disiasat atas kesalahan menyebarkan berita palsu berkaitan dua murid dari sekolah di Perak yang meninggal dunia akibat suntikan vaksin Covid-19 pada September tahun lalu.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, kertas siasatan itu telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan arahan supaya individu itu dituduh telah dikeluarkan di bawah Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam.

ARTIKEL BERKAITAN: Penjara, denda RM100,000 menanti individu sebar berita palsu tentang Covid-19, darurat... berkuat kuasa esok

Bagaimanapun menurutnya, wanita itu gagal hadir ke mahkamah pada 21 Januari lepas sepertimana notis pemberitahuan yang telah diserahkan kepadanya.

Wanita itu sekali lagi gagal hadir meskipun mahkamah telah memberi tarikh pertuduhan baharu pada 10 Februari lalu.

"Satu waran tangkap telah dikeluarkan oleh pihak mahkamah kepada individu tersebut.

"Pelbagai usaha telah dibuat oleh polis untuk mengesan wanita ini untuk hadir ke mahkamah, namun masih gagal dijumpai dan dihubungi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, berdasarkan rekod, alamat terakhir wanita terbabit adalah di Taman Sri Andalas, Klang Selangor.

Beliau berkata, polis amat mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam untuk mengesan individu tersebut bagi tindakan selanjutnya.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Zulkefly Mohd Mukhtar di talian 012-4336999. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain