suria

Wanita dari China ditahan cuba bawa masuk sosej babi berpenyakit di KLIA

Antara sosej babi yang dirampas Maqis. Foto: Sinar Harian.

SEORANG wanita warga China ditahan dalam pemeriksaan bagasi kerana cuba membawa masuk sosej daging babi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor, wanita itu ditahan pihaknya pada jam 3 petang, 26 Mac lalu.

Hasil pemeriksaan bagasi milik wanita berkenaan, Maqis menemukan sosej seberat 10 kilogram (kg) bernilai RM350.

ARTIKEL BERKAITAN: Betul ke sotong frozen sebenarnya dubur babi? Meriah perdebatan grup WhatsApp, anak-anak paling risau mak ayah terpedaya berita palsu

"Beberapa sampel telah diambil daripada sosej daging babi tersebut bagi diuji di Makmal Kesihatan Awam Veterinar (MKAV) dan hasil ujian mendapati sosej itu positif untuk pengesanan penyakit African Swine Fever (ASF).

"Prosedur ujian ini dilakukan bagi mencegah penularan wabak penyakit dan dikhuatiri jika tidak dikawal boleh menyebabkan industri ternakan babi negara terjejas," katanya pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, kesemua sosej yang dirampas akan dilupuskan mengikut Prosedur Operasi Piawaian yang telah ditetapkan.

Tegasnya, Malaysia mengenakan larangan membawa masuk produk babi dari negara yang mengalami wabak penyakit ASF termasuk penumpang di laluan udara yang membawa bagasi 'hand carry' bagi menghalang risiko kemasukan penyakit ASF dapat dicegah.

"Virus ASF ini tidak akan menjangkiti manusia. Ia hanya menjangkiti babi, sama ada babi peliharaan atau babi hutan.

"Penyakit ASF sangat mudah merebak dan mampu menyebabkan kadar kematian yang sangat tinggi sehingga 100 peratus dalam segerombolan babi peliharaan di mana ia boleh melumpuhkan industri ternakan babi dalam masa yang singkat," katanya.

Justeru, katanya, penyampaian maklumat mengenai penyakit ASF ini akan dipertingkatkan agar rakyat Malaysia dan pelancong dari luar negara peka mengenai larangan yang dikenakan ke atas pengimportan dan kemasukan produk babi ke Malaysia. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain