suria

Dibiar tidur bersendirian, budak perempuan 4 tahun maut jatuh tingkat 18 kondominium

Siasatan awal polis mendapati mangsa terjatuh selepas dibiarkan tidur bersendirian tanpa pengawasan. Gambar hiasan

GARA-GARA ditinggalkan tidur bersendirian, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut akibat terjatuh dari balkoni di tingkat 18 sebuah kondominium.

Kejadian yang berlaku di Blok B, Kondominium PV10, Jalan Danau Saujana 2, Setapak, Kuala Lumpur disedari oleh orang awam yang menemui mayat mangsa sekitar pukul 2 pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, semasa kejadian, penghuni lain di kediaman terbabit sedang tidur di bilik masing-masing dan tidak menyedari mangsa ditinggalkan bersendirian.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak 6 tahun maut jatuh di sebuah hotel di Pulau Pinang

"Mangsa seorang kanak-kanak perempuan berumur 4 tahun tinggal di salah satu unit di tingkat 18 kondominium tersebut. Mangsa telah jatuh dari balkoni tingkat 18 bangunan tersebut.

"Siasatan awal mendapati mangsa dibiarkan tidur bersendirian tanpa pengawasan manakala ibunya telah keluar dari rumah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan di lokasi kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a), Akta Kanak-Kanak 2001 (Penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak).

"Pihak polis menasihati ibu bapa agar tidak meninggalkan anak-anak kecil bersendirian tanpa pengawasan kerana perbuatan itu boleh dianggap sebagai satu kecuaian di bawah Akta Kanak-kanak 2001," katanya. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain