suria

Ahmad Zahid anggap tuduhan cuba ‘cover’ Siti Bainun tak masuk akal, jika ada keupayaan seperti itu lebih baik ‘lindung’ kes sendiri

Ahmad Zahid menangkis tuduhan pihak tertentu yang mengaitkannya dengan tertuduh kes penderaan Bella.

SELEPAS anak perempuan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersuara menjawab tuduhan yang mengaitkan bapanya dalam kes penderaan remaja perempuan sindrown down bernama Bella, terbaharu Presiden Umno itu pula tampil memperjelaskan tohmahan yang dilemparkan kepadanya.

Sambil menangkis tuduhan yang dibangkitkan pihak tertentu, Ahmad Zahid turut menyuarakan rasa kesal apabila tiba-tiba namanya dikaitkan sebagai ahli politik yang cuba 'melindungi' tertuduh kes berkenaan.

"Sebagai insan seperti anda semua tentunya saya juga mengharapkan keadilan buat Bella dapat ditegakkan. Terlalu banyak insiden menyayat hati dilaporkan dalam kes tersebut dan pastinya semua mahukan kebenaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak angkat ‘celah’ mana? Nurulhidayah jawab tuduhan Siti Bainun dilindungi Ahmad Zahid

ARTIKEL BERKAITAN: Mahu keadilan, perjuang nasib Bella... TMJ tawar khidmat peguam secara percuma

"Tetapi saya berasa kesal apabila diberitahu tiba-tiba ada pihak cuba mengaitkan saya dengan kes tersebut. Menuduh saya cuba melindungi tertuduh dengan mengaitkan tertuduh memiliki 10 peguam bela kerana saya.

"Dakwaan saya cuba mempengaruhi mahkamah dalam perbicaraan kes Bella juga tidak masuk akal.

"Bagaimana saya boleh melakukannya walhal yang menuduh juga tentu tahu saya tiada sebarang kuasa berbuat demikian. Saya tidak berada dalam kerajaan untuk menekan pihak pendakwaan

"Jika benar saya mempunyai keupayaan seperti itu bukankah lebih baik saya 'melindungi' kes saya," jelas Ahmad Zahid menerusi satu hantaran di laman Facebook, pada Ahad.

zahid

Gambar yang tular memaparkan Ahmad Zahid dan isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis bergambar bersama tertuduh (kanan).

Tambah bekas timbalan perdana menteri ini lagi, mengaitkan dirinya dengan tertuduh hanya kerana sekeping gambar yang dirakam bersama-sama keluarganya juga adalah tuduhan yang tidak berasas.

Ahmad Zahid merujuk kepada gambar yang tersebar luas di media sosial ketika ini, di mana beliau bersama isteri dan beberapa individu lain bergambar mesra bersama Pengasas Rumah Bonda yang juga tertuduh kes berkenaan, Siti Bainun Ahd Razali.

"Sebagai seorang pemimpin, mana mungkin saya menolak permintaan sesiapa sahaja untuk bergambar.

"Sebagai contoh hari ni saya memuji seseorang tokoh berkenaan kebaikan dan kehebatannya di media sosial saya, setelah sekian lama dia pula dituduh melakukan jenayah dan perbuatan yang salah di sisi undang-undang.

"Adakah saya juga dikaitkan kerana pernah memuji beliau?" soalnya.

bella

Tubuh Bella penuh dengan kesan luka dan melecur disyaki didera tertuduh.

Mengulas lebih lanjut, Ahmad Zahid mengakui sepanjang terlibat dalam arena politik, beliau pernah membantu ramai individu termasuk didatangi mereka yang meminta bantuan dan sumbangan kewangan untuk tujuan kebajikan.

"Namun saya sama sekali tidak akan melindungi sesiapa saja antara mereka itu jika didakwa terlibat dalam jenayah," ujarnya.

Justeru Ahmad Zahid meminta rakyat agar tidak terlalu mudah mempercayai sesuatu sebaliknya mengkaji terlebih dahulu setiap perkara yang disebarkan.

Saya sama sekali tidak akan melindungi sesiapa saja antara mereka itu jika didakwa terlibat dalam jenayah.

DATUK SERI AHMAD ZAHID HAMIDI

"Saya harap mereka yang sedang gigih berusaha untuk memfitnah saya sekali lagi demi politik itu berhentilah. Bulan Ramadan yang mulia ini tidak sepatutnya dicemari dengan nilai-nilai kebatilan seperti itu.

"Dosa yang ada pun tidak tertanggung dan belum tahu telah diampun, jangan ditambah dosa lagi sampai bertimbun-timbun.

"Kecuali mereka itu terlupa atau buat-buat lupa ketika ini bulan Ramadan, Allah jua yang mengetahui segala-galanya," ujarnya lagi.

Siti Bainun berdepan dengan dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella.

Mengenai kes Bella, Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain