suria

Rina Harun terharu keprihatinan TMJ, sedia menghadap bagi persembah status perbicaraan kes dera Bella

Rina bersedia bekerjasama rapat dengan pihak peguam yang dititahkan oleh TMJ berhubung kes penderaan Bella.

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun sedia bekerjasama dengan peguam Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi membantu kes prosiding penderaan remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella.

Rina berkata niat baik Tunku Ismail menawarkan perkhidmatan guaman percuma untuk menjalankan arahan memerhati bagi pihak kementerian untuk kes ini amatlah bermakna.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahu keadilan, perjuang nasib Bella... TMJ tawar khidmat peguam secara percuma

"Kementerian menyambut baik pelawaan ini dan akan bekerjasama rapat dengan pihak peguam yang dititahkan oleh DYAM Tuanku. Menjunjung kasih DYAM Tuanku.

"Sesungguhnya patik amat terharu dengan keprihatinan yang dizahirkan oleh DYAM Tuanku dan YAM Che Puan Besar yang sama-sama mengikuti perkembangan kes perbicaraan ini," tulisnya dalam satu hantaran di Instagram.

Menurut Rina, pihaknya dan kementerian bersedia menghadap Tunku Ismail dan isterinya, Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam bagi membentangkan status perbicaraan Bella serta tindakan susulan.

"Buat seluruh Keluarga Malaysia, dalam bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita terus memanjatkan doa semoga urusan perbicaraan kes penderaan adik Bella dipermudahkan dan kebenaran dan keadilan dapat dibuktikan di akhir perbicaraan kelak," tulisnya.

Terdahulu, Tunku Ismail berkata beliau telah menghubungi dan berbincang dengan peguamnya berhubung kes Bella.

Ujar Tunku Ismail juga, beliau akan menghubungi Rina dan menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati bagi pihak kementerian untuk kes ini," katanya.

Tunku Ismail berkata demikian selepas isterinya, Che' Puan Besar Khaleeda, berkongsi pendiriannya di Instagram, mengatakan bahawa dia akan melakukan segala-galanya untuk menuntut keadilan buat Bella.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain