suria

Penunggang Y15ZR maut selepas terbabas di Jalan Lipis-Merapoh

Penunggang motosikal maut di tempat kejadian.

PENUNGGANG motosikal jenis Yamaha Y15ZR maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Kilometer (KM) 37, Jalan Lipis-Merapoh dekat Central Spine Road (CSR) Lipis, di Pahang pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.28 pagi itu, mangsa, Ahmad Nazri Razani, 25, dari Kampung Tapang, Kota Bharu, Kelantan yang merupakan pekerja kilang meninggal dunia di tempat kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN: Menyayat hati... penunggang motosikal maut tersepit tayar kontena, polis kesan saksi kemalangan

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor memberitahu, siasatan awal mendapati mangsa bergerak dari Kota Bharu, Kelantan pada jam 7.30 pagi menghala ke Kuala Lumpur untuk kembali bekerja.

"Mangsa menunggang motosikal seorang diri dan apabila sampai di tempat kejadian, motosikalnya dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke arah tepi jalan sebelah kiri.

"Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal itu mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis dan bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian swab Covid-19 diperoleh.

Katanya, siasatan lanjut akan diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain