SEBARANG kurniaan daripada Istana Johor tidak boleh disalah gunakan untuk meraih populariti di media sosial, titah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah. Ia susulan tindakan seorang pengguna akaun TikTok bernama 'Shafeqyahya', yang menayang gambar beberapa hadiah kurniaan Istana Bukit Serene menerusi aplikasi video popular itu. Dalam satu kenyataan menerusi Facebook The Royal Johor, baginda bertitah tidak mengenali pemilik akaun TikTok berkenaan. "Saya tahu hadiah-hadiah itu dan ia sebenarnya hadiah kurniaan kepada sesetengah pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri Johor sebagai penghargaan ikhlas atas perkhidmatan mereka. "Saya tidak mengenali siapa 'Shafeqyahya' ini dan saya mengesyaki hadiah-hadiah itu disalah gunakan untuk meraih ikutan dan populariti di media sosial, seolah-olah mempunyai hubungan yang rapat dengan Keluarga DiRaja Johor," titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) pada Selasa. Titah Tuanku Permaisuri Johor lagi, satu laporan polis akan dibuat untuk menyiasat sama ada wujudnya elemen salah guna atau menyamar sebagai pegawai kerajaan Johor. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI