"KAMI sekeluarga tak tahu di mana dia berada dan bimbang keadaannya. Tolonglah bantu kami dan jasa semua pihak amat dihargai" Demikian rayuan seorang ibu yang meminta bantuan orang ramai mengesan anak lelakinya yang dilaporkan hilang sejak awal pagi Ahad (8 Mei). Menurut Nuraliana Alias, 38, anak lelakinya Muhammad Al Muizz Al Mawardi, 16, tidak pulang ke rumah selepas ke Masjid Al Muqarrabin untuk menunaikan solat Subuh pada pukul 5.45 pagi. ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak hilang: Bapa antara 4 suspek ditahan, positif dadah Tambahnya, jarak masjid itu hanya kira-kira 500 meter dari rumah mereka yang terletak di Blok Purnama, Tasik Height Apartment di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. "Anak ada memaklumkan kepada kami hendak keluar berhari raya bersama kawan-kawannya selepas solat Subuh tetapi sehingga sekarang masih belum pulang. "Petang hari yang sama, kami sepatutnya menghantarnya pulang semula ke asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut Jaya. "Laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Sungai Besi. Sebelum ini, dia tidak pernah hilang malah dia juga bukan remaja yang suka bersosial," ujarnya lagi. Justeru dia merayu kepada sesiapa yang menemui anak lelakinya itu agar menghubungi di talian 013-2484367 atau 013-2306168. - SINAR HARIAN Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI