suria

Beringat sebelum kena... Perkeso lancar Ops Cegah elak kemalangan libatkan pekerja

Mohammed Azman menampal pelekat kenderaan sebagai simbolik pelancaran Ops Cegah oleh Perkeso.

SELARAS dengan usaha mengurangkan kadar kemalangan melibatkan pekerja di Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melancarkan program Ops Cegah.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata ia merupakan satu usaha bersepadu bagi menerapkan budaya pencegahan kemalangan di tempat kerja.

"Mengangkat tema Kebersamaan Menangani Kemalangan Pekerja, program ini akan dilaksanakan selama 15 hari bersama dengan rakan-rakan strategik lain dengan mengadakan lawatan ke 1,060 premis majikan yang dikenal pasti.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Lagu ‘Bangga’ gandingan B-Heart dan Andy Flop Poppy cara Perkeso hargai golongan pekerja

"Berteraskan nilai kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan, inisiatif Ops Cegah dirancang untuk dilaksanakan setiap tahun.

"Ia mensasarkan pelaksanaan aktiviti pencegahan kemalangan pekerjaan membabitkan kemalangan industri dan kemalangan semasa perjalanan pergi balik kerja (commuting accident)," katanya.

097A5928

Mohammed Azman (lima dari kiri) bersama beberapa rakan strategik selepas pelancaran Ops Cegah.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Ops Cegah Peringkat Kebangsaan 2022 di Menara Perkeso pada Selasa.

Program ini melibatkan semua 54 Pejabat Perkeso di seluruh negara termasuk Ibu Pejabat akan dilaksanakan bermula 17 hingga 31 Mei ini.

Dalam pada itu tambah Mohammed Azman, program berkenaan juga menjadi saluran buat Perkeso untuk berkongsi maklumat, panduan, peluang dan ruang kepada pengurusan tertinggi syarikat untuk menerap dan melaksanakan amalan serta langkah-langkah pencegahan kemalangan pekerjaan kepada pekerja mereka.

097A5730

PDRM turut sama sebagai rakan strategik.

Antara matlamat program Ops Cegah adalah seperti berikut:

a. Memberi kesedaran berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada pengurusan syarikat/ majikan bagi menyediakan suasana tempat kerja yang selamat kepada para pekerja.

b. Memberi panduan kepada majikan dan pekerja mengenai amalan terbaik dan berkesan dalam menangani isu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, ketika dalam perjalanan serta aktiviti pekerjaan yang berkaitan jalan raya.

c. Menggalakkan pendidikan dan kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan ketika bekeria dan di jalan raya.

d. Meningkatkan kesedaran tentang kepentingan budaya pencegahan sebagai asas perlindungan sosial kepada majikan dan pekerja.

e. Mengurangkan kemalangan industri dan kemalangan perjalanan dalam kalangan pekerja.

097A5851

Majlis pelancaran Ops Cegah di Menara Perkeso pada Selasa.

Penganjuran Ops Cegah pada tahun ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada beberapa rakan strategik seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Modus operandi Ops Cegah membabitkan aktiviti turun padang oleh Perkeso bersama rakan strategiknya ke 1,060 premis syarikat di seluruh negara.

Sesi lawatan dan perjumpaan diadakan dengan pengurusan tertinggi syarikat yang mencatatkan jumlah kemalangan pekerjaan tertinggi pada 2021 berdasarkan senarai Top '100' di seluruh negara dan 'Top 20' di kawasan Pejabat Perkeso tempatan.

Menurut data Perkeso sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian menyumbang kepada kadar tertinggi kes kemalangan pekerjaan termasuk sewaktu berulang-alik ke tempat kerja.

Menerusi Ops Cegah, Perkeso berharap untuk meningkatkan lagi kesedaran golongan majikan terhadap isu-isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan, seterusnya mendorong mereka untuk lebih bertanggungjawab dengan melaksanakan langkah-langkah pencegahan kemalangan kepada para pekerja.

Perkeso yakin inisiatif ini mampu membentuk budaya pencegahan dan mengurangkan kadar kemalangan pekerjaan khususnya dalam kalangan pencarum Perkeso dan rakyat Malaysia secara amnya.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk laman sesawang Perkeso di www.perkeso.gov.my atau hubungi nombor Careline Perkeso di talian 1-300-22-8000 atau e-mel ke [email protected].

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain