suria

Kemalangan tragis 5 pelajar Usas: Pemandu treler mengaku tidak bersalah

Tertuduh (gambar kecil) didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Selasa. Foto: Sinar Harian

PEMANDU treler yang terlibat dalam kemalangan tragis berhampiran Terowong Menora hingga menyebabkan kematian lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Khamis lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar atas pertuduhan memandu secara berbahaya.

Tertuduh, Mohammad Amirul Aznizam Razali, 28, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua lima pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Mengikut pertuduhan, dia yang memandu treler jenis Volvo didakwa telah memandu kenderaan tersebut dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian ke atas Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19; Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22 dan Iqbal Hasnun Halimi, 23.

ARTIKEL BERKAITAN: Kemalangan 5 pelajar Usas: Pemandu treler didakwa hari ini

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara - Selatan arah utara kira-kira pukul 1 pagi pada 12 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 selain butiran kesalahan diendors pada lesen memandu jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Mohammad menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan lesen memandu ditahan.

Peguam G Ravishankar yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jaminan dengan alasan anak guamnya sudah memberikan kerjasama yang baik selain hilang sumber pendapatan serta perlu menyara isteri dan tiga anak berusia 14, 10 dan 2 tahun.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Tertuduh membayar jaminan berkenaan.

Mahkamah turut menetapkan 30 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Dalam kejadian awal pagi, 12 Mei lalu, lima pelajar USAS rentung setelah kereta jenis Honda City yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan dua treler membawa muatan mozek dan besi pagar. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain