suria

Dapat semangat, permulaan baharu... balu jurugambar terharu terima faedah Perkeso

V Mohanadas (dua kiri) dan Ismail (kanan sekali) bersama Ratnasari (tengah) dan tiga anaknya.

"BERI semangat dan permulaan baharu kepada saya dan keluarga."

Begitu luahan balu kepada jurugambar di Kumpulan Media Star, Allahyarham Abdullah Subir yang menerima kunjungan pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ke rumahnya di Klang, pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Beringat sebelum kena... Perkeso lancar Ops Cegah elak kemalangan libatkan pekerja

Dalam pertemuan itu, Ratnasari Mohammad, 51, menerima faedah Perkeso yang disampaikan oleh Ketua Cawangan Faedah Ibu Pejabat Perkeso, Ismail Abi Hashim dan Pengurus Perkeso Klang, V Mohanadas di kediamannya di Kampung Medan, Klang.

"Sebagai suri rumah, saya tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menyara tiga anak saya selepas suami meninggal dunia," katanya ketika ditemui di rumahnya, pada Isnin.

Ratnasari berkata, dia amat terharu menerima faedah tersebut.

"Syukur kerana pencen bulanan diterima ini dapat meringankan beban kami sekeluarga dan menjamin masa depan anak bongsu saya yang masih belajar," tambahnya.

Suaminya, Abdullah Subir meninggal dunia akibat serangan jantung pada 17 Mei lalu.

Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Adibah, 25; Aqilah, 23 dan Dhani Hakim, 16.

Sementara itu, Ismail berkata, balu Abdullah Subir itu layak menerima RM2,000 untuk Faedah Pengurusan Jenazah serta Bayaran Pencen Penakat Balu dan Anak berjumlah RM2,267 sebulan.

Hadir sama ketika penyerahan tersebut adalah Editor Foto Kumpulan Media Star, Ng Kok Leong. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain