suria

Kes kedua kurang 24 jam di Jambatan Pulau Pinang... Mangsa dipercayai terjun, tinggalkan kereta atas jambatan

Mangsa merupakan seorang wanita berusia 22 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang, pada awal pagi Selasa. Gambar hiasan

SEORANG wanita dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang, pada awal pagi Selasa.

Ia merupakan kes kedua dalam tempoh 24 jam, selepas seorang wanita berusia 27 tahun terjatuh dari jambatan yang sama pada Isnin.

Mengulas kejadian terbaharu itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (Malaysia) Pulau Pinang berkata, wanita tersebut berusia 22 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Ditemui selamat selepas terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang, mangsa tertekan kematian ibu

"Kami menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 3.39 pagi di KM8.0 arah tanah besar.

"Sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Jalan Perak telah dihantar ke lokasi," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, mangsa meninggalkan keretanya di atas jambatan.

Jurucakap itu berkata, pasukan penyelamat sedang memantau kawasan di mana mangsa dipercayai terjatuh.

Operasi mengesan mangsa masih diteruskan.

Pada Isnin (23 Mei), seorang wanita berusia 27 tahun terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang tetapi berjaya diselamatkan oleh sekumpulan nelayan.

Bagi mereka yang mengalami masalah atau masalah kesihatan mental, boleh hubungi: Perkhidmatan Sokongan Psikososial Kesihatan Mental (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999 atau WhatsApp 019-261 5999); Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim (WhatsApp 011-1959 8214); dan Befrienders Kuala Lumpur (03-7627 2929 atau www.befrienders.org.my/centre-in-malaysia senarai penuh nombor dan waktu operasi). - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain