DIKEMASKINI AHLI Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin mengumumkan keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). "Insya-Allah, saya akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam waktu terdekat untuk membincangkan peletakan jawatan saya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi. "Saya juga akan berbincang mengenai peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia. "Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis. ARTIKEL BERKAITAN: "Berada dalam PKR selama 20 tahun, saya percaya itu suara Anwar" - Zuraida ARTIKEL BERKAITAN: Azmin, Zuraida dipecat daripada PKR Zuraida kini berada di Turki memenuhi undangan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin serta dijangka berucap pada majlis pembukaan. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu dijangka pulang ke tanah air pada 2 Jun ini selepas memenuhi undangan Misi Perniagaan dan Pengembangan Pasaran Kayu Malaysia bersama Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) di Athens, Greece. Zuraida berkata, beliau membuat pertimbangan yang mendalam untuk menyertai PBM dan mempercayai dengan perjuangan parti itu. "Saya tertarik dengan enam prinsip terasnya iaitu keterlibatan pelbagai kaum; pemberdayaan wanita; pemerkasaan anak muda; pembangunan ekonomi; peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju," katanya. Menurut Ahli Parlimen Ampang itu, beliau melihat banyak potensi dalam PBM, terutama pada masa rakyat Malaysia sudah bosan dengan politik lama yang membantutkan kemajuan negara. "Insya-Allah, penyertaan serta pengalaman saya ke PBM nanti akan dapat membantu mengangkat parti ini ke peringkat yang lebih tinggi terutama menjelang pilihan raya umum yang akan datang, "Penyertaan saya juga akan mengisi kelompongan kepimpinan wanita dalam negara. "Sejak penubuhannya, PBM dilihat semakin kuat dan kini mempunyai beberapa orang Ahli Parlimen dan Adun dalam barisannya," katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI