suria

Kecoh insiden ‘halau’ orang awam, pegawai imigresen ditukar serta-merta

Tangkap layar video tular memaparkan pertengkaran antara pegawai imigresen dan orang awam

KECOH video tular insiden pertengkaran membabitkan seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), anggota berkenaan ditukarkan ke bahagian lain serta-merta.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya memandang serius terhadap kejadian pertengkaran yang berlaku di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Anggerik Mall, Shah Alam, baru-baru ini.

"Walaupun daripada siasatan awal mendapati terdapat unsur provokasi orang awam berkenaan, namun tindakan yang diambil pegawai JIM yang terbabit dalam insiden berkenaan adalah bertentangan dengan slogan jabatan iaitu "Integriti, Professional, Mesra."

"Selain itu, adalah diakui bahawa menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang awam adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seseorang pegawai imigresen yang juga penjawat awam," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Khairul Dzaimee berkata, pegawai imigresen seharusnya bijak mengawal diri dan mengambil sikap professional apabila berdepan dengan provokasi lisan oleh orang awam kerana mereka telah diberi latihan dan tunjuk ajar yang mencukupi.

"JIM telah mengambil tindakan serta-merta dengan menukarkan pegawai berkenaan ke bahagian lain.

"Kertas siasatan mengikut peraturan dan prosedur tatatertib penjawat awam juga akan dibuka dengan segera oleh Bahagian Integriti jabatan ini," ujarnya.

Terdahulu, tular video seorang lelaki berang kerana tidak mendapat layanan sewajarnya ketika membuat pasport di kaunter Imigresen UTC berkenaan.

Turut berlaku pertengkaran di antara lelaki berkenaan dengan pegawai imigresen di kaunter terbabit sehingga mengeluarkan kata-kata kesat.

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee turut kesal dengan tindakan provokasi yang dilakukan orang awam berkenaan.

"Pelbagai kemudahan disediakan untuk orang ramai memperbaharui pasport mereka seperti permohonan atas talian dan pemanjangan waktu operasi termasuk Sabtu dan Ahad.

"Justeru, JIM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk laman sosial jabatan ini untuk maklumat terkini.

"JIM ingin menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap pegawai yang bersikap tidak profesional dan dalam masa yang sama jabatan ini juga akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang cuba memburukkan imej dan kredibiliti jabatan ini," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain