suria

Caprice ‘audit’ lelaki mengaku cicit Nabi, pengguna Twitter pula dedah kenyataan Jakim... “Mencurigakan dan perlu berhati-hati”

Caprice berjanji akan mendedahkan hasil laporan daripada Jakim tentang Sayyid Muhammad Amin Hamid al-Idrisi.

SEJAK minggu lalu media sosial hangat memperkatakan mengenai kehadiran seorang lelaki dari Maghribi yang mengaku sebagai cicit Nabi Muhammad SAW ke Malaysia.

Isu berkenaan menjadi kecoh selepas beberapa negeri membatalkan program membabitkan lelaki dikenali sebagai Sayyid Muhammad Amin Hamid al-Idrisi bagi sambutan Maulidul Rasul.

Antara negeri yang membatalkan jemputan ke majlis tersebut ialah Kedah, Terengganu, Melaka dan Kelantan.

jakim 1

Tangkap layar kenyataan yang dipaparkan di laman Twitter @eryazmi.

Malah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh yang dipetik daripada Sinar Harian berkata, semua pihak perlu menyemak terlebih dahulu kesahihan latar belakang individu yang mendakwa mereka dari keturunan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Persoalannya, siapa sebenarnya Sayyid Muhammad Amin yang mengaku dia sebagai cicit Nabi Muhammad SAW?

Terbaharu, seorang pengguna Twitter @eryazmi berkongsi kenyataan yang didakwa dikeluarkan Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tentang individu berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bertuahnya Mawla Muhammad, ada orang tolong kupas kulit udang... Ramai ambil peluang dekati individu dakwa keturunan Rasulullah

Daripada kenyataan berkenaan, pihak Jakim dikatakan mendapati wujud keraguan terhadap latar belakang individu tersebut.

"Sayyid Moulay Muhmammad Amine berasal dari Algeria dan mendapat kewarganegaraan Maghribi (Morocco) dan dikatakan juga mendapat kewarganegaraan Perancis.

"Dikatakan kini menetap di Fes Maghribi (Morocco) mendakwa sebagai keturunan Ahli Bait (keturunan Saidina al-Hasan).

"Berdasarkan penilaian awal, beberapa isu dan kontroversi berkaitan penama tersebut. Menjadi persoalan dan mencurigakan dan perlu diambil perhatian dan berhati-hati," demikian yang ditulis pada kenyataan tersebut.

jakim 2

Sambungan tangkap layar kenyataan yang dipaparkan di laman Twitter @eryazmi.

Kenyataan itu juga menyebut, maklumat mendapati penama warga Maghribi tersebut dikatakan dan dikaitkan dengan beberapa isu dan kontroversi di Maghribi.

Namun maklumat awal tersebut tidak dapat disahkan berikutan sumber yang amat terhad kerana dia bukan warganegara Malaysia dan tidak bergerak di negara ini.

Isu-isu yang dikatakan berkaitan dengan individu tersebut adalah:

1. Mendakwa keturunan ahli bait yang nasab berubah-ubah gelaran iaitu al-Idrisi, al-Quazzani, Al-Alami.

2. Penipuan berkaitan duit di Maghribi.

3. Penipuan lain terhadap Zawiyah Sidi Kasem ben Rahmoun, Fes Maghribi.

4. Permasalahan dengan pihak Moulay Zouber Kettani.

5. Dikatakan pihak kementerian Waqaf menasihatkan kepada para Sheikh di Jami’al Qurrawiyyun supaya berhati-hati dengan penama tersebut.

6. Para pelajar Asia Tenggara di Fes turut dinasihatkan supaya menjauhi penama tersebut.

Dalam pada itu, penyanyi rap, Caprice turut membuat hantaran menerusi Instagram, memberi bayangan mengenai latar belakang individu berkenaan yang didakwa sebagai scammer.

mawla 1

Hantaran yang dikongsikan oleh Caprice di Instagram.

"Atas permintaan ramai kita sudah start audit saudara kita ni, insyaAllah Cap sendiri akan jumpa wakil @myjakim to get to the bottom of this.

"InsyaAllah... terima kasih ustaz daripada Jakim yang Cap baru call tadi pada 3 petang," tulisnya.

Caprice juga berkata akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara tersebut di akaun Instagram miliknya kemudian.

Menerusi ruangan komen, netizen memberikan reaksi yang bercampur-baru, namun rata-ratanya tidak sabar menantikan kenyataan daripada Caprice hasil perbualannya dengan pegawai agensi induk agama itu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain