suria

MPN sasar teruskan bantuan kepada usahawan, peniaga kecil

Muhyiddin (tengah) pada sidang media selepas Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial.

NASIB golongan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan terus diberikan perhatian dalam proses memulihkan negara.

Melalui Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial yang dianjurkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) pada 13 Oktober lalu, 12 kertas kerja penyelidikan telah dibentangkan bagi membincangkan isu golongan rentan.

Antara perkara lain yang dibincangkan adalah potensi ekonomi hijau, sekuriti makanan serta pemerkasaan sektor ekopelancongan.

Gesaan telah dibuat agar kerajaan segera memulihkan negara melalui penekanan aspek keterangkuman sosial dan bermaruah (dignity).

Muhyiddin (tengah) bersama peserta Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial.

Seminar tersebut yang disertai bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga merupakan pengerusi MPN telah menggariskan beberapa aspek yang perlu ditekankan dalam memulihkan negara.

Aspek tersebut antaranya menyentuh berkenaan menangani isu jaminan bekalan makanan bagi mengatasi dilema ketidaktentuan rantaian bekalan serta kebergantungan terhadap import.

Seterusnya aspek lain menyebut tentang pemacuan sektor perniagaan (business acceleration) dengan meningkatkan akses kepada geran dan pinjaman serta moratorium bersasar bagi mengatasi masalah aliran tunai.

Muhyiddin (tengah) bersama panel dalam Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial.

Sektor keusahawanan telah terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara dan masih memerlukan bantuan serta insentif dari kerajaan untuk membangun semula.

MPN turut menyatakan tiga sektor lain yang kritikal ketika ini adalah pembinaan, pelancongan dan peruncitan.

Selain itu, menurut MPN, isu kekurangan tenaga pekerja juga perlu diberikan tumpuan agar pemilik perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mampu untuk menerima kemasukan permintaan daripada pelabur.

Rasa syukur tidak terhingga

Siti Suraya Sharif, 39, merupakan pengusaha produk berasaskan pokok rosel seperti jus rosel dan pati rosel secara kecil-kecilan.

Sewaktu pandemik Covid-19 melanda negara, Siti Suraya mengakui perniagaannya terkesan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa ketika itu.

Siti Syarif bersama produk berasaskan rosel miliknya.

"Waktu Covid-19, kita buat penanaman rosel sendiri, dalam 2 ekar kebun kami. Tetapi disebabkan PKP dan ladang kami di daerah yang berbeza, kami tak dapat pergi ke sana.

"Tak ada siapa nak jaga jadi semua tanaman memang habis mati. Kerugian di situ dari tanaman kita rosak dan material atau produk kita pun tak boleh nak keluarkan. Kedai pun tak buka.

"Setahun itu memang shut down dan ini adalah satu-satunya sumber pendapatan saya. Kosong dan memang tak ada apa untuk saya sewaktu itu," ceritanya.

Muhyiddin ketika dalam seminar juga berkata PMKS memerlukan tumpuan sewajarnya kerana kelewatan menyalurkan bantuan akan menjejaskan kelangsungan hidup dan ketahanan perniagaan mereka.

"Mengenai beban kewangan dan masalah aliran tunai yang dihadapi komuniti perniagaan terutama PMKS, MPN mencadangkan supaya program penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan (moratorium) diteruskan.

"Kerajaan harus meneliti aspek ‘business acceleration’ bagi pembangunan PMKS yang meliputi hampir 98 peratus entiti perniagaan dalam negara dan menyumbang 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu," kata beliau.

Siti Suraya berkata dia tidak mampu berdiri sendiri jika tidak menerima sokongan dari luar kerana tempoh pandemik Covid-19 yang mencecah setahun lebih itu telah meninggalkan impak yang mendalam.

"Saya pernah dapat bantuan RM8,000 tunai. Memang sangat banyak membantu. Saya buat penanaman semula pokok rosel. Wang simpanan memang dah kering habis pakai waktu pandemik nak survive.

Siti Syarif bersama kebunnya yang ditanam semula selepas menerima bantuan.

"Bantuan itu tolong saya untuk bangkitkan semula perniagaan saya yang dah shut down selama setahun.

"Sekarang pun kita masih lagi merangkak nak recover balik. Mungkin lagi dua atau tiga tahun baru boleh nampak keuntungan masuk semula," katanya.

Pengusaha rosel ini juga menyambut baik cadangan MPN yang menggesa kerajaan untuk memberikan moratorium ke atas pinjaman kewangan oleh Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

"Kalau boleh ada moratorium ini memang saya sangat hargai, boleh bagi saya ruang untuk bernafas sekejap.

"Macam saya cakap tadi, kita ni baru nak naik semula dan sokongan dalam apa segala bentuk memang sangat dialu-alukan," ujarnya.

Siti Suraya berharap kerajaan dapat membantu menyediakan platform yang bersesuaian untuk memasarkan produk-produk usahawan kecil agar dapat masuk ke dalam pasaran yang lebih besar.

"Kita dah banyak kerugian, jadi saya berharap kerajaan boleh bantu sediakan platform online ataupun offline untuk kami guna bagi ketengahkan produk kami ini kepada orang ramai.

"Selain itu, sebolehnya pinjaman bank dapat dikurangkan faedah kepada 2.5 peratus dan jangka pembayaran semula dipanjangkan untuk membantu meringankan beban Industri Kecil Sederhana (IKS)," katanya memberikan cadangan.

Sinar di hujung terowong

Pengusaha keropok lekor, Tuan Sheikh Mohd, 42, berkata bantuan yang diterimanya digunakan untuk melancarkan produk baharu dan mengembangkan perniagannya.

"Bila Covid-19 hari tu, pekerja saya berkurang sehingga separuh, dari 40 orang tinggal 20 orang sahaja. Kami tak mampu bayar gaji mereka sebab memang tak ada pendapatan yang masuk.

Sheikh Mohd berkata perniagaan keropok lekor miliknya hidup semula kerana bantuan yang diterima.

"Selain itu, hutang saya memang bertambah mencanak naik. Sebab tempat saya buat perniagaan ini, saya menyewa. Nak bayar sewa, pendapatan pun tak masuk. Memang terasa kesannya," ceritanya.

Muhyiddin ketika berucap dalam Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara Keterangkuman Sosial juga mencadangkan diwujudkan sistem bersepadu khusus agar penyaluran bantuan kepada golongan rentan dapat dijalankan secara efektif.

"Mekanisme bersepadu bakal berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial yang dapat mengenal pasti pelan bantuan jangka pendek, sederhana dan panjang kepada rakyat berkelayakan.

"Ini boleh mengurangkan kerenah birokrasi dalam aspek penyampaian bantuan, sekali gus mengoptimumkan penggunaan kewangan negara," kata beliau.

Sheikh Mohd seterusnya berkata bantuan yang diberikan tiba pada masa yang tepat tatkala perniagaannya sedang melalui fasa yang sukar.

"Bantuan daripada pihak kerajaan itu memang diberi pada masa yang sangat sesuai. Dana macam itu memang sangat banyak membantu kami yang PKS.

"Kerugian kami memang tak terkira. Sepanjang setahun kedai ini tutup, banyak produk makanan kami kena buang sebab dah luput. Jadi bantuan ini beri kami nyawa semula.

"Bantuan itu juga saya guna untuk bayar hutang. Seterusnya saya gunakan dana itu untuk dijadikan modal nak lancarkan produk baharu iaitu sos cili," ceritanya.

Produk baharu sos cili yang dilancarkan menggunakan bantuan yang diterima sebagai modal.

Sheikh Mohd juga seperti Siti Suraya, menerima baik gesaan MPN untuk kerajaan menubuhkan moratorium khas ke atas pinjaman perniagaan oleh PMKS.

"Dalam keadaan saya sekarang ini, kalau dapat untung apa pun memang akan gunakan dulu untuk bayar hutang waktu Covid-19 hari itu.

"Jadi kalau boleh ada moratorium yang macam MPN cadangkan itu, saya boleh gunakan apa yang saya dapat itu ke arah perniagaan saya sendiri.

"Kukuhkan semula foundation yang dah goyah selepas Covid-19 hari itu. Saya sangat hargai usaha MPN yang cuba menambah baik cara untuk membantu kami," ujarnya.

Dia juga berharap bantuan ini dapat dikekalkan kerana ia merupakan penggerak dan pendorong kepada peniaga yang hendak berkecimpung dalam sektor ini.

"Saya ada rancangan nak renovate bangunan, nak naik taraf mesin dan teknologi. Dari bantuan inilah saya dapat realisasikan semua ini. Spark yang saya perlukan.

"Saya harap kerajaan dapat teruskan dan sentiasa tambah baik dari semasa ke semasa," katanya penuh harapan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain