suria

Langgan Netflix pun Adam Adli isytihar... Netizen boleh ‘relate’, calon PRU15 kategori B40 pakai Perodua Bezza, Kelisa je

Antara salinan SD pengisytiharan harta milik Adam Adli.

PENGISYTIHARAN harta yang dibuat oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli baru-baru ini hangat menjadi topik perbualan netizen.

Menerusi akuan berkanun (SD) yang dikongsi, Rafizi memiliki nilai aset bersih yang dianggarkan bernilai RM18.85 juta.

Selain Rafizi, Ketua Angkatan Muda Keadilan PKR Adam Adli Abdul Halim, 33, turut mengisytiharkan hartanya dengan aset berjumlah RM28,533.79

Menerusi salinan dokumen yang dikongsi oleh seorang individu di Twitter, Adam Adli yang bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Hang Tuah Jaya mempunyai wang tunai di bank sebanyak RM1,769.72 (CIMB) dan RM8.73 (RHB).

Dia juga mempunyai RM13,643.87 dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), setakat 30 September 2022.

adam1

Adam Adli bertanding bagi Parlimen Hang Tuah Jaya dalam PRU15.

Bagi pelaburan alam Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) pula, dia hanya memiliki RM111.47, setakat 30 September 2022.

Adam Adli turut memiliki sebuah Perodua Kelisa dengan nilai pasaran semasa RM13,000 dan baki hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) sebanyak RM9,655.16.

Menerusi perkongsian yang sama, Adam Adli mempunyai pendapatan bulanan berjumlah RM3,000.

Dia yang sudah berkahwin dan memiliki dua orang cahaya mata juga mengakui memiliki komitmen bulanan sebanyak RM2,440 termasuk perbelanjaan sewa kediaman, bil utiliti, yuran pusat asuhan anak, insurans hayat dan langganan Nexflit.

Selain Adam Adli, Bawani KS, 36, yang juga calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kawasan DUN Ayer Kuning di Perak turut mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih berjumlah RM992.50 setakat 1 November lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar isytihar harta RM10.7 juta kepada SPRM

Menurut SD yang dikongsi, Bawani mempunyai pendapatan bulanan RM5,000 dan jumlah simpanan KWSPN sebanyak RM12,189.41.

Bagi tunai dan simpanan, dia mempunyai wang berjumlah RM17,463 di tiga buah bank.

Bawani turut mendedahkan dia mempunyai sebuah kereta Perodua Bezza keluaran 2019 dengan harga RM29,000 dan telefon Oppo Reno 5 Pro berharga RM2,100.

bawani1

Bawani turut mengisytiharkan hartanya menjelang PRU15.

Bawani mempunyai hutang pinjaman kereta berjumlah RM27,320 dan PTPTN sebanyak RM20,250.

Sementara itu, Fathin Amelina Fazlie, 28, calon muda PKR yang bertanding di kerusi Parlimen Arau turut mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih berjumlah RM15,864 setakat 1 November lalu.

Menerusi dokumen yang dimuat naik ke Twitter, dia hanya mempunyai RM3,127 simpanan di bank serta RM2,009.33 dalam ASNB.

Dia juga mempunyai sebuah Perodua Bezza dengan nilai pasaran semasa RM35,971, seutas rantai leher (RM6,000) dan gelang tangan (RM3,000).

Dia juga mempunyai hutang PTPTN sebanyak RM30,000 dan hutang pinjaman kenderaan berjumlah RM35,971.

fathn2

Fathin Amelina Fazlie, calon muda yang bertanding di kerusi Parlimen Arau.

Dalam pada itu, rata-rata netizen turut memuji pengisytiharan harta yang dibuat calon-calon muda tersebut yang mana mereka dianggap telus dan jujur untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU15) tidak lama lagi.

"Macam ni baru betul declare aset. Detail satu-satu.

"Salute Adam Adli semoga peroleh kemenangan. Dah menang nanti dapat gaji besar jangan lupa berkhidmat untuk rakyat pula.

"Ada orang pernah cakap Adam Adli tu pun B40, macam kita. Apabila tengok pengisytiharan harta dia, betul la memang B40. A normal person... orang yang faham denyut nadi kepayahan rakyat di bawah.

"Terbaik. Patut semua parti buat begini, tak salah kenapa nak takut.

"Terbaik, inilah yang dimahukan rakyat. Telus," tulis beberapa netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain