PERIKATAN Nasional (PN) sedia bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan membentuk kerajaan campuran selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Setiausaha Agung PAS yang juga calon PN bagi Parlimen Kota Bharu itu berkata, beliau yakin BN akan menyokong idea tersebut. Beliau turut melahirkan keyakinan PN mampu membentuk kerajaan, sama ada secara bersendirian atau bersama parti lain. Bagaimanapun, beliau berkata bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bukan satu pilihan. ARTIKEL BERKAITAN: PRU15: Tambun, Pakatan Harapan, Perikatan Nasional antara yang trending di Twitter "Presiden PAS (Tan Sri) Abdul Hadi Awang pernah berkata jika kita tidak boleh bekerjasama (dengan BN) sebelum pilihan raya umum, mungkin kita boleh menjalinkan hubungan selepas itu. "Keutamaan pertama kami ialah BN. Walaupun tiada perbincangan diadakan sepanjang tempoh berkempen ini, saya yakin BN akan menerima (membentuk kerajaan dengan PN). "Ada perbincangan sebelum ini, tetapi walaupun kita tidak dapat bekerjasama sekarang, kita ada cakap mungkin kita boleh bekerjasama selepas PRU15," katanya selepas ceramah di Kampung Kubang Kiat, Kota Bharu pada malam Isnin. Namun kenyataan Takiyuddin disanggah oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Menurut Muhyiddin, PN tidak pernah memberi mandat kepada pemimpin PAS itu untuk berunding dengan BN bagi tujuan membentuk kerajaan, selepas PRU15. Muhyiddin berkata tujuan PN bertanding pada PRU15 adalah bagi membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau PH. "Saya berdoa dengan izin Allah SWT dan sokongan padu rakyat, Perikatan Nasional akan memenangi jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri-negeri yang terlibat dalam PRU15," katanya dalam ciapan di Twitter. - THE STAR Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI