suria

Hujan lebat akibatkan 11 lokasi di Selangor dinaiki air

Anggota bomba membantu memindahkan mangsa yang terjejas ekoran kenaikan paras air akibat hujan lebat.

HUJAN lebat yang melanda Klang, Shah Alam, Puchong dan Kajang sejak tengah malam Khamis (17 Nov) menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air dan tanah runtuh.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata antara kawasan yang dinaiki air ialah Jalan Landasan Kampung Bukit Kuda, Taman Sentosa, Taman Chi Liung, Teluk Pulai dan Taman Maznah di Klang, selain Kampung Sri Aman dan Putra Height Harmoni 1 di Puchong.

"Kami juga mendapati air naik di Taman Pasir Mas, Jalan Seroja, Jalan Reko dan Taman Teknologi Kajang di Kajang, Bukit Lanchang, Taman Sri Muda dan Jalan Kebun di Shah Alam serta Kampung Sungai Pening dan Sungai Lalang di Semenyih," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Norazam berkata, pusat operasi negeri menerima beberapa panggilan mengenai banjir pada pukul 12.26 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Shah Alam banjir lagi, penduduk mula berjaga-jaga

"Seramai 130 pegawai dan anggota serta 20 bot, empat lori, 10 utiliti dan lapan jentera bomba dikerahkan ke kawasan banjir dan tanah runtuh," katanya.

Tambahnya, setakat pukul 3.30 pagi, lebih 31 mangsa telah dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) berikutan paras air yang semakin meningkat di kawasan perumahan mereka, katanya.

"Tiga pusat penempatan dibuka di Masjid Kampung, Johan Setia, Bandar Bukit Tinggi 2 dan SK Ulu Semenyih," katanya lagi.

Norazam berkata, Jalan Landasan Kampung Bukit Kuda, Klang merupakan kawasan dengan paras air paling dalam iaitu 0.6 meter manakala Taman Sri Muda, Jalan Kebun dan Kampung Bukit Lanchong pula merekodkan paras air 0.3 meter.

"Selain mangsa banjir, kita turut fokus membantu warga emas dan OKU. Operasi masih diteruskan setakat pukul 4 pagi. Kita juga mengesan paras air mula surut di beberapa lokasi selepas hujan lebat mula reda," katanya.

Norazam berkata anggota bomba turut membantu menyelamatkan empat mangsa daripada kejadian tanah runtuh yang berlaku di belakang sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Sri Jelok, Kajang.

"Tiada mangsa yang cedera semasa kejadian itu," katanya. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain