suria

Jangan kata Superman juga datang ke Melaka, isu Disneyland bakal dibina dikritik

Taman tema Disneyland dikatakan bakal dibangunkan di Melaka. -gambar fail

BERHENTI menjadikan Melaka sebagai bahan jenaka kepada seluruh dunia dengan mendakwa taman tema Disneyland akan dibina di negeri itu, tegas Khoo Poay Tiong.

Penyandang kerusi Parlimen Kota Melaka itu meminta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali supaya memberi penjelasan berhubung laporan bahawa taman tema Disneyland dan Disney City akan dibangunkan di Jasin menjelang 2027.

"Sulaiman harus berani bertindak terhadap pegawainya yang mengeluarkan kenyataan yang didakwa sama dengan menyebarkan maklumat tidak benar.

"Portal berita tempatan malah Singapura hari ini melaporkan perkara ini sebagai berita palsu dengan mengesahkan perkara tersebut dengan The Walt Disney Company di Amerika Syarikat, yang telah memalukan Melaka," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada rancangan bina Disneyland di Melaka - Disney

Poay Tiong berkata, kerajaan negeri harus lebih bertanggungjawab apabila mengeluarkan kenyataan mengenai projek mega seumpama itu.

"Anda tidak boleh sewenang-wenangnya dan mendakwa Superman dan Ultraman akan datang ke Melaka, dan mengadakan sidang media.

"Secara ringkasnya, kita mahu melihat apakah tindakan Sulaiman seterusnya kerana ini adalah perkara serius yang telah menjejaskan nama baik dan integriti negeri," katanya.

Terdahulu, dilaporkan Melaka akan membangunkan sebuah taman tema Disneyland dan Disney City berkeluasan kira-kira 80.9 hektar, iaitu yang terbesar di Asia Tenggara.

Pembangunan taman tema itu adalah yang pertama diwujudkan di Asean selepas China, Korea, Eropah dan Jepun dan pembinaannya menelan kos kira-kira RM2 bilion. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain