suria

Istana Negara lanjut tempoh kemuka nama calon PM, kerajaan baharu hingga 2 petang Selasa

Nama calon PM perlu diserahkan kepada Istana Negara sebelum 2 petang Selasa.

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin AlMustafa Billah Shah berkenan melanjutkan proses bagi ketua parti dan gabungan politik untuk mengemukakan keputusan berhubung pembentukan kerajaan baharu dan nama calon Perdana Menteri Malaysia ke-10, sehingga pukul 2 petang Selasa.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam satu kenyataan, pada Isnin.

"Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai," demikian menurut kenyataan tersebut.

Agong turut bertitah bahawa pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa di bawah pengurusan Perdana Menteri Sementara atau 'Caretaker Prime Minister' berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan bagi Kerajaan Sementara (Caretaker Government).

ARTIKEL BERKAITAN: Serah nama calon PM sebelum 2 petang Isnin - Istana Negara

"Seri Paduka Baginda menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan negara," ujarnya lagi.

PRU15 yang berlangsung pada Sabtu berakhir dengan situasi di mana tiada parti yang mencapai majoriti mudah bagi membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi sebanyak 82 kerusi, Perikatan Nasional (PN) menang sebanyak 73 kerusi, Barisan Nasional (BN) berjaya meraih sejumlah 30 Parlimen, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 22 kerusi, Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi, Parti Warisan Sabah (Warisan) tiga kerusi dan Bebas sebanyak dua kerusi.

Sementara itu, Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing mendapat satu kerusi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Lain