suria

Tanah runtuh Batang Kali: Sayu nenek hilang 4 ahli keluarga termasuk 2 cucu sekelip mata

Beh berjalan keluar sambil dipapah selepas menuntut mayat ahli keluarganya.

PILU... Seorang nenek menuntut mayat empat mangsa insiden tanah runtuh Batang Kali, Sungai Buloh, Selangor selepas proses pengecaman dilakukan.

Beh Su Lee, 59, dari Sabak Bernam dilihat meraung sambil berjalan keluar dari bilik mayat Hospital Sungai Buloh.

Terpaksa berhadapan dengan detik hitam dan menyayat hati membuatkan dirinya lemah sehingga perlu disokong saudara mara.

Bercakap kepada pemberita selepas keadaanya sedikit tenang, Beh dalam linangan air mata berkata, dia datang untuk mengenal pasti ahli keluarga keempat, termasuk dua anak kecil.

“Saya mengenal pasti tiga mayat semalam (17 Disember) dan hari ini (18 Disember) saya mengenal pasti satu lagi.

"Anak perempuan dan menantu saya berumur dalam lingkungan 30-an. Cucu saya berumur enam tahun," kata Beh yang kecewa, sambil perlahan-lahan dipujuk oleh saudara maranya untuk pergi ke kereta yang sedang menunggu.

Pun begitu, tidak diketahui berapa umur cucu yang lain itu.

Juga tidak diketahui sama ada keluarga itu adalah sebahagian daripada kumpulan guru dari SJKC Mun Choong, yang pergi berkhemah sebelum tragedi itu berlaku pada awal pagi Jumaat.

Kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm di Jalan Batang Kali dekat Gohtong Jaya setakat ini telah meragut 24 nyawa. Sembilan lagi masih hilang manakala 61 mangsa terselamat.

Kerja mencari dan menyelamat masih diteruskan. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain