suria

Dewan Rakyat bersidang, TPM bentang usul undi percaya terhadap Anwar

Usul undi percaya terhadap Anwar dibentangkan hari ini.

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof membentangkan usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Semasa membentangkan usul itu, Fadillah (GPS-Petrajaya) berkata penting bagi kerajaan perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan keyakinan penggubal undang-undang memandangkan unjuran kemelesetan ekonomi pada 2023.

"Ini akan mengukuhkan keyakinan pelabur, komuniti perniagaan dan rakyat," katanya sambil menambah sokongan yang diperoleh akan membolehkan kerajaan perpaduan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Terhibur tengok Anwar terlupa ‘step’ istiadat angkat sumpah, netizen kata sebab gugup... “Tak apalah... tiada rehearsal"

"Justeru, dengan kepimpinan Perdana Menteri yang kesepuluh dan kerajaan perpaduannya, kerajaan mesti disokong demi kejayaan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya lagi.

Beliau berkata kerajaan komited untuk menstabilkan iklim politik, memperjuangkan ekonomi yang sejahtera, menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan memartabatkan negara di persada antarabangsa.

"Dengan ini, Dewan seharusnya mengambil pendirian dan berikrar menyokong penuh kepimpinan Ahli Parlimen Tambun sebagai Perdana Menteri untuk menjalankan tugas dan tanggungjawabnya," katanya.

Beliau juga mengakui bahawa ini adalah kali pertama dalam sejarah kerajaan perpaduan berkuasa, berikutan parlimen yang tergantung.

Sebanyak 12 ahli Parlimen akan membahaskan usul itu dengan Ahli Parlimen Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) sebagai speaker pertama. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain