suria

Tanah runtuh Batang Kali: Operasi SAR cari 9 lagi mangsa diteruskan, guna bantuan GPR

SAR menggunakan radar penembusan tanah dan anjing bagi mencari sembilan lagi mangsa. Foto: Azhar Mahfof/The Star

WALAUPUN dengan bantuan anjing penghidu (Unit K9) dan jengkaut, proses mencari dan menyelamat (SAR) sembilan orang yang masih hilang dalam kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm di Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor. adalah perlahan dan sukar.

Penggunaan radar penembusan tanah (GPR) sangat membantu operasi dalam mengecilkan skop lokasi pencarian mengesan mayat tertimbus di dalam tanah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata peralatan radar itu diserahkan kepada mereka oleh Jabatan Tinjauan dan Pemetaan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Selain membantu mengesan mangsa di dalam tanah, alat ini juga membantu mengukur ketebalan tanah runtuh,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian, Ahad.

Beliau berkata, setakat Ahad, lapan jengkaut turut beroperasi di tapak yang ditugaskan kepada Sektor A (Hillview) dan C (Riverside) untuk kerja-kerja pengorekan dan pemindahan tanah.

“Kaedah ekskavasi adalah dengan mengalihkan tanah awal iaitu tanah runtuhan dengan kedalaman kira-kira 0.9 meter hingga 1.2 meter.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh Batang Kali: Father's Organic Farm zahir simpati, takziah

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh Batang Kali: Sayu nenek hilang 4 ahli keluarga termasuk 2 cucu sekelip mata

“Selepas itu, pengorekan akan dihentikan dan pemeriksaan lanjut akan dilakukan secara manual termasuk Unit Anjing Pengesan K9 untuk melihat jika terdapat sebarang tanda mayat manusia.

“Sekiranya tiada tanda, kami akan meneruskan proses penggalian secara perlahan-lahan bagi mengelakkan baldi (penggali) daripada merosakkan mana-mana mayat yang mungkin berada di situ,” katanya setelah menyatakan bahawa pasukan mencari dan menyelamat mengambil langkah berjaga-jaga apabila menggunakan jentera berat.

Norazam berkata, proses itu turut dipantau oleh anggota pasukan penyelamat yang akan memberi tunjuk ajar dan arahan cara mengorek.

“Kita tidak mahu mereka (pasukan penggalian) menggali tanah seperti yang mereka lakukan untuk kerja-kerja pembersihan tanah. Ia perlu dilakukan secara perlahan dan ringan,” katanya.

Katanya lagi, hujan menyebabkan tanah menjadi lembut, mengakibatkan aliran air di kawasan tertentu dan menambah kesukaran kepada operasi mencari dan menyelamat.

Tambahnya, pada hari pertama (Jumaat), lapan mangsa ditemui dengan penggunaan jengkaut.

“Kami kemudian menjumpai tiga lagi yang digali oleh sebuah jengkaut pada keesokan harinya manakala baki mangsa ditemui selepas anggota badan mereka dikesan di dalam tanah.

"Kami juga mendapati beberapa mangsa terperangkap dalam serpihan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendent Suffian Abdullah berkata tujuh kenderaan dikesan di lokasi.

“Kami telah merekodkan nombor pendaftaran kenderaan dan akan menyemaknya untuk memastikan pemilikan mereka.

"Ini supaya kita dapat mengenal pasti mangsa yang terlibat,” katanya.

Sehingga petang Ahad, anggota di tempat kejadian masih belum menemui mangsa lain. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain