suria

MB Terengganu mohon maaf ke luar negara, tak bersama rakyat ketika banjir buruk

Ahmad Samsuri memohon maaf kepada rakyat Terengganu. foto.AZMAN GHANI/ The Star

MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memohon maaf kerana tidak dapat bersama rakyat ketika negeri itu dilanda banjir buruk, sejak Ahad lalu.

Beliau mengakui kesal kerana tidak dapat bersama dengan mangsa banjir dalam tempoh yang kritikal itu, terutama dari 18 hingga 21 Disember.

"Saya mohon jutaan kemaafan kepada mangsa (banjir) dan rakyat Terengganu di atas yang telah berlaku.

"Saya faham tidak boleh memberikan apa juga alasan dan memperbetulkan keadaan mengenai ketiadaan saya di sisi rakyat Terengganu pada waktu sebegini.

"Saya juga faham apa juga penjelasan, ia tidak akan memberi apa-apa makna.

"Walaupun saya berada di luar negara, (saya) sentiasa meneliti suasana yang berlaku setiap masa," katanya pada sidang media, menerusi Facebook miliknya, pada Jumaat.

Ahmad Samsuri berkata, beliau meneruskan perjalanan ke luar negara selepas mendapati berlaku penurunan mangsa banjir di peringkat awal pada Jumaat dan Sabtu lalu.

"Untuk rekod juga, saya ingin maklumkan saya ada bertemu mangsa banjir fasa pertama iaitu pada 9 dan 10 lalu," katanya.

Ahmad Samsuri bagaimanapun menegaskan bahawa beliau sentiasa meneliti perkembangan semasa banjir sepanjang tempoh ketiadaannya di Terengganu ketika itu.

Awal minggu ini, menteri besar itu menerima kecaman di media sosial selepas timbul dakwaan belliau berkunjung ke New Zealand bersama keluarganya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain