suria

Majikan kurang 5 pekerja dibenar tangguh laksana gaji minimum

Kerajaan berharap penangguhan itu diterima baik oleh semua pihak. foto FB Kementerian Sumber Manusia

KERAJAAN menangguhkan penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja sehingga 1 Julai 2023.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, majikan dalam kategori berkenaan diberikan penangguhan selama enam bulan terhadap penguatkuasaan gaji minimum itu berbanding tarikh 1 Januari 2023 yang ditetapkan sebelum ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat kerajaan selepas mengambil kira soal kesediaan majikan dalam kategori berkenaan bagi menguatkuasakan gaji minimum baharu kepada pekerja mereka.

"Keputusan ini juga dibuat setelah kerajaan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan yang dijangka menghadapi cabaran ekonomi serta kewangan pada tahun depan.

"Penangguhan selama enam bulan ini juga diharap dapat memberikan peluang untuk menyelaras dan mengimbangi keperluan kewangan dan membantu memulihkan kedudukan ekonomi syarikat yang menggajikan kurang daripada lima pekerja.

"Kementerian Sumber Manusia berharap penangguhan ini diterima baik oleh semua pihak," katanya melalui kenyataan di Facebook rasmi Kementerian Sumber Manusia.

Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 mula berkuat kuasa sejak 1 Mei 2022 dengan kadar gaji RM1,500 sebulan untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih.

Melalui peraturan sebelum ini, semua majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja, diberi pengecualian dan pelaksanaan PGM 2022 sebanyak RM1,500 sebulan berkuat kuasa pada 1 Januari 2023.

Pelaksanaan gaji minimum baharu itu diluluskan kerajaan pada 19 Mac lalu dan diwartakan melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara pada 27 April lalu.

Pada masa sama, Sivakumar menegaskan majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih masih perlu meneruskan pembayaran gaji minimumRM1,500 bermula 1 Mei lalu.

Beliau berkata, ini termasuklah majikan menjalankan aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (Masco).

"Justeru majikan yang tidak terbabit dengan penangguhan ini hendaklah terus mematuhi pelaksanaan PGM dengan membayar gaji minimum RM 1,500 sebulan kepada pekerja," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain