suria

Nahas 5 'superbike' di Lebuhraya Karak, seorang melecur

Sebahagian motosikal kuasa tinggi terbabit nahas di Lebuhraya KL-Karak. Foto: Facebook Friends of Bomba

SEORANG penunggang melecur akibat kebakaran motosikal selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan lima motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat Gombak.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, kemalangan itu berlaku di Kilometer (KM) 26.4 Lebuhraya Karak.

"Daripada lima penunggang yang terlibat, seorang daripada mereka melecur. Kesemua mereka telah dihantar ke hospital sebelum Jabatan Bomba dan Penyelamat tiba di lokasi kejadian," katanya.

Akibat kemalangan tersebut, kesemua mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, kaki dan tangan, dan dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed dalam satu kenyataan berkata, kemalangan berpunca daripada sebuah kereta secara tiba-tiba menukar lorong.

"Kemalangan berlaku ketika semua datang dari kawasan Genting. Sebuah kereta tidak diketahuim model dan pendaftarannya memasuki lorong menyebabkan salah seorang penunggang hilang kawalan.

"Empat penunggang lagi terbabas selepas cuba mengelakkan rakan mereka. Kesemuanya mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan," katanya. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain