suria

Pesawat Batik Air lewat kerana juruterbang melepasi had masa penerbangan, kata menteri

Batik Air beri baucar percuma khas buat penumpang terjejas.

KELEWATAN lapan jam membabitkan penerbangan batik Air ke Kuching Jumaat lepas berpunca akibat lencongan ke Langkawi dan juruterbang telah melebihi had jam penerbangan yang dibenarkan, kata Anthony Loke.

Menteri Pengangkutan berkata, perkara itu boleh dikendalikan dengan lebih baik dengan komunikasi yang betul.

Katanya, dia menerima laporan penuh daripada Batik Air, sebelum ini dikenali sebagai Malindo Air, selepas syarikat penerbangan itu memohon maaf kepada penumpang atas kelewatan yang berlaku.

"Pesawat itu terpaksa melencong ke Langkawi, dan sebaik tiba di sana, juruterbang melebihi waktu penerbangan mereka.

"Jadi, anak kapal baharu terpaksa diterbangkan ke Langkawi untuk mengambil alih, (mengakibatkan) kelewatan beberapa jam," katanya pada promosi tambang penerbangan tetap di KLIA2 pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Penerbangan lewat: Batik Air sedia baucar percuma khas kepada pelanggan, sedia baiki kelemahan perkhidmatan

Loke berkata, beliau tidak mencipta sebarang alasan untuk syarikat penerbangan itu sebaliknya mahu menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku.

"Bagaimanapun, saya berharap dari segi pengendalian komunikasi berhubung penerbangan tertangguh, ia dapat dilakukan dengan lebih baik pada masa hadapan," tambahnya.

Pada Isnin, pengguna Twitter Mohd Firdaus Jailan (@firdausjailan) berkata dia terkandas di KLIA selama lebih tujuh jam kerana kelewatan itu.

Tweet video Firdaus, yang mendapat lebih satu juta tontonan, menunjukkan penumpang yang terkandas tidur di bangku berhampiran pintu berlepas, dengan sistem paparan maklumat penerbangan yang tidak dikemas kini.

Pada Selasa, beliau berkata syarikat penerbangan itu perlu mengeluarkan permohonan maaf dan bertanggungjawab atas kejadian tersebut.

Batik Air kemudianya pada hari sama berkata mereka akan menghubungi semua penumpang yang terjejas untuk memanjangkan baucar percuma khas. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain