PEMAIN hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn digantung daripada mewakili negara dalam mana-mana pertandingan antarabangsa, termasuk Sukan SEA Kemboja pada Mei depan. Keputusan itu berikutan kenyataan berbaur perkauman yang dikongsikan Hanis di laman Twitter baru-baru ini mengenai konsert komposer dari India, AR Rahman di Stadium Nasional di Bukit Jalil, bulan lalu. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, Jawatankuasa Siasatan yang dipengerusikan bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memutuskan Hanis bersalah membuat komen yang merujuk kepada kaum tertentu. "Hasil daripada sesi temubual dan selepas memperhalusi beberapa dapatan lain berhubung isu berkenaan, Jawatankuasa Siasatan merumuskan bahawa Hanis memuatnaik ciapan komen yang berbaur perkauman kerana komen itu ditujukan kepada konsert dihadiri majoriti kaum India. ARTIKEL BERKAITAN: Pasukan Mercedes pecat empat staf gara-gara komen berbaur rasis "Sehubungan itu, jawatankuasa mendapati Hanis bersalah sebagai individu kerana membuat kenyataan atau komen secara terbuka di akaun media sosial miliknya yang menjurus kepada menghina, mengutuk atau mencaci sesuatu pihak lain," menurut kenyataan itu. Menurut kenyataan berkenaan lagi, sebagai pemain hoki negara, Hanis didapati bersalah kerana membuat komen yang mengakibatkan kerosakan kepada imej pasukan dan KHM yang jelas melanggar kod etika KHM. "Sehubungan itu, Jawatankuasa Siasatan memutuskan untuk KHM tidak mempertimbangkan Hanis dari mewakili pasukan hoki kebangsaan ke mana-mana tugasan antarabangsa termasuk temasya Sukan SEA Kemboja 2023," kata kenyataan itu. Menurut kenyataan itu, KHM akan menilai semula keputusan ini sekiranya Hanis mempamerkan perubahan sikap yang positif sepanjang tempoh berkenaan. KBS berkata pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang komen perkauman yang dibuat oleh atlet. Terdahulu, Hanis memuat naik komen berbaur perkauman mengenai penonton yang menghadiri konsert itu pada 28 Januari lalu. Atlet itu menulis 'bau best la kat dalam tu' berserta emoji tertawa sehingga mengeluarkan air mata kepada gambar dan video keadaan konsert berkenaan. Pemain hoki kelahiran Kluang itu kemudian memohon maaf secara terbuka di akaun media sosialnya pada 29 Januari di atas komen tersebut. Jawatankuasa Siasatan juga telah menemu bual Hanis dan jurulatih pasukan kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli, di mana pemain itu mengaku membuat komen di akaun media sosialnya dan meluahkan kekasalan di atas tindakannya. - THE STAR Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube