suria

Suri rumah jangan lepas peluang, masa untuk dapatkan perlindungan keselamatan sosial... Jom daftar di Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023

Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 dijangka dikunjungi lebih 5,000 pencari kerja. -Foto hiasan

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) akan melancarkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 pada Sabtu ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir bagi menyempurnakan pelancarannya yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Program anjuran Kementerian Sumber Manusia (KSM) itu dijangka dikunjungi lebih 5,000 pencari kerja di seluruh negara termasuk pengunjung dalam kalangan suri rumah dan wanita serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan menghadiri program dua hari berakhir pada 12 Februari.

"KSM dan Perkeso mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri yang menterjemahkan sokongan kerajaan terhadap usaha membangunkan jaringan keselamatan sosial yang komprehensif dan inklusif di Malaysia," kata Perkeso dalam kenyataan pada Khamis.

Sepanjang program itu berlangsung, orang ramai boleh berinteraksi secara terus dengan Perkeso bagi memahami SKSSR dan manfaatnya dengan lebih mendalam, mendapatkan khidmat nasihat serta membuat pendaftaran SKSSR di gerai disediakan.

Perkeso berkata, golongan suami dan pihak seperti NGO atau syarikat swasta turut digalakkan menaja caruman bagi pihak suri rumah.

Majikan 2

Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 dijangka dikunjungi lebih 5,000 pencari kerja di seluruh negara.

"SKSSR yang mula dilaksanakan pada 1 Disember 2022 menawarkan faedah di bawah Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan seperti Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Keuzuran, Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat.

"Skim perlindungan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) ini terbuka kepada wanita warga tempatan dan pemastautin tetap berusia kurang 55 tahun dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau separuh masa, berkahwin atau bujang," katanya.

Selain itu Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 adalah karnival berskala besar pertama tahun ini dianjurkan Perkeso sebagai inisiatif meningkatkan peluang rakyat memperoleh pekerjaan berkualiti.

Pada masa sama ia mengurangkan kadar pengangguran dan memperkasa pasaran buruh.

Karnival yang bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang itu menawarkan lebih 13,000 peluang pekerjaan dengan kira-kira 20 peratus daripadanya terbuka kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) daripada 140 syarikat merentas pelbagai sektor dan industri.

"Karnival ini bakal menyaksikan pembabitan syarikat majikan besar seperti Maybank, Bank Simpanan Nasional (BSN), EXIM Bank, KTM Malaysia, ExxonMobil, UMW, UOA Group dan Avisena Healthcare.

Social Media - Launching Poster-03

Program dua hari berakhir pada 12 Februari.

"Ada pelbagai aktiviti perkhidmatan pekerjaan yang disediakan secara percuma termasuk penyediaan resume, pendaftaran portal MYFutureJobs serta bimbingan dan nasihat kerjaya.

"Selain itu pelbagai hadiah cabutan bertuah yang menarik juga menanti para pengunjung sepanjang karnival berlangsung," katanya lagi.

Penganjuran karnival itu juga adalah antara usaha berterusan KSM melalui Perkeso untuk mewujudkan peluang pekerjaan secara mampan kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan rentan seperti OKU.

Katanya lagi, ia sekali gus menyokong usaha dan komitmen kerajaan untuk membantu rakyat yang terkesan dengan ekonomi semasa dan pasca pandemik COVID-19, terutama mereka yang kehilangan pekerjaan atau menganggur.

"Sehubungan itu, Perkeso mengajak suri rumah dan pencari kerja di seluruh negara memanfaatkan peluang ini dengan berkunjung ke Pelancaran SKSSR dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 hujung minggu ini," katanya.

Bagi pencari kerja, Perkeso menggalakkan mereka mendaftar di pautan www.myfuturejobs.gov.my/career sebelum hadir ke karnival berkenaan.

Pihak majikan yang berminat menyertai mana-mana karnival kerjaya anjuran Perkeso boleh menghubungi Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang Perkeso di www.perkeso.gov.my atau hubungi talian khidmat pelanggan Perkeso di talian 1-300- 22-8000.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain