PEMILIK kenderaan persendirian kini tidak lagi perlu berdepan dengan pelekat cukai jalan yang melecehkan kerana bermula dari Jumaat (10 Februari) lesen digital akan diperkenalkan. Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, pendigitalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian akan menyelesaikan aduan rata-rata pemilik dan pemandu kenderaan. Mod paparan LKM digital (e-LKM) dan LMM digital (e-LMM) dilancarkan sebagai satu langkah pendigitalan dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Kedua-dua e-LKM dan e-LMM boleh dimohon bermula Jumaat melalui laman sesawang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau aplikasi MyJPJ. Loke berkata melalui pendigitalan cukai jalan ini, pemilik kenderaan tidak lagi perlu membawa salinan fizikal pelekat cukai jalan seperti yang diperlukan sebelum ini. Pindaan perundangan itu akan digazetkan dengan menggunakan kuasa yang tertakluk kepada Kementerian Pengangkutan untuk membolehkan proses pendigitalan ini dilaksanakan. Inisiatif itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu, termasuklah motosikal bagi rakyat Malaysia “Kita akan mengambil kira kesediaan sistem dan penerimaan awam terhadap pelaksanaannya sebelum peluasan pelaksanaannya ke fasa-fasa seterusnya,” kata beliau dalam sidang media, pada Jumaat. Bagaimanapun, kata Loke, bagi pemandu dan pemilik kenderaan yang belum bersedia, mereka masih boleh memperoleh dan mengekalkan amalan memapar pelekat atau kertas LKM dan menggunakan kad fizikal LMM dalam tempoh interim, sehingga hujung tahun ini. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube