suria

Mengadu hotel di Melaka berhantu, pengunjung cepat-cepat minta wang dikembalikan… Paling kerap ketika musim cuti

Pelanggan dakwa ada gangguan mistik di hotel tetapi sebenarnya ada hajat di sebaliknya. -Gambar hiasan

GANGGUAN mistik menjadi alasan utama sesetengah pengunjung hotel bertindak meminta agar wang mereka dipulangkan setelah tempahan dibuat.

Perkara itu kini menjadi perhatian Persatuan Hotel Melaka (MAH).

Ahli Jawatankuasa Eksekutif MAH Melaka, Sazali Sabri berkata sesetengah hotel perlu berhadapan dengan situasi sebegitu apabila pengunjung meminta pulangan wang kerana mendakwa melalui pengalaman berunsur mistik.

"Walaupun begitu, tidak ada bukti kukuh yang dikemukakan untuk menyokong dakwaan tersebut.

"Sesetengah daripada penginap berbuat sedemikian apabila mereka berjaya mendapatkan hotel yang lebih dekat dengan tempat tumpuan pelancong di pusat bandar," katanya pada Sabtu.

Menurut Sazali, kes seperti ini biasanya dilaporkan ketika musim percutian serta membabitkan hotel yang terletak berjauhan dari pusat bandar.

Sazali berkata demikian bagi mengulas kes di mana penginap meluahkan kekecewaan kerana mereka tidak mendapat pulangan wang daripada pihak hotel setelah memberikan aduan mengenai gangguan mistik.

Namun katanya pulangan wang kepada penginap dalam situasi sebegini biasanya bergantung kepada budi bicara pihak hotel.

"Pulangan wang biasanya akan diberikan jika penginap membuat aduan mengenai isu teknikal seperti penghawa dingin rosak atau kebersihan bilik yang kurang memuaskan," kata Sazali.

Sazali menekankan penginap perlu memahami kesukaran yang dihadapi pihak hotel jika tempahan bilik yang dibuat adalah lebih dari sehari. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain