suria

Khairulaming ajak staf ‘raya awal’! Bagi bonus, tutup kilang bawa semua pergi shopping... tolak demand sambal 3 kali ganda pada Ramadan

Menjelang Aidilfitri, Khairulaming tidak melupakan kebajikan pekerja di dua kilang sambal miliknya di Kelantan.

USAHAWAN dan pempengaruh media sosial, Khairul Amin sekali lagi mencuri perhatian pengikutnya apabila membenarkan semua pekerja kilang sambal miliknya bercuti selama satu hari.

Menurut Khairulaming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamaruzzaman, ia merupakan rutin 'wajib' dilakukan setiap tahun untuk kesemua 60 pekerjanya.

Pastinya, apa yang dilakukan ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada semua pekerja selepas kejayaan penjualan sambal jenamanya itu laris terjual.

Khairulaming, 30, berkongsi mengenai perkara tersebut menerusi ciapan yang dimuat naik di Twitter miliknya.

“Jadi semalam (6 April) kita tutup kedua-dua kilang untuk meraikan semua pekerja. Kita bawa semua keluar pergi berjalan-jalan.

“Pertama kita pergi membeli belah baju raya dahulu. Yang ni rutin wajib setiap tahun. Kesemua 60 orang datang, pilihlah nak baju apa. Baju Melayu, baju kurung, tudung, samping semua pilih saja tak ada masalah.

“Yang penting semua orang gembira dan puas hati dengan baju masing-masing. Tak payah sedondon pun satu syarikat. Lain pun tak apalah. Tak ada masalah,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau awak tak biasa masak...” - Khairulaming jawab teguran resipi banyak minyak, orang diet boleh ubah ikut selera sendiri

ARTIKEL BERKAITAN: Masakan terlebih minyak, resipi sambal hijau Khairulaming ditegur Dr Rafidah - “Harap akan datang adalah makanan sihat”

Bukan itu sahaja, Khairulaming juga dilihat turut memberikan ‘bonus’ kepada pekerja-pekerjanya sebagai kejutan.

Perkara itu dibuat menerusi pengumuman istimewa olehnya sendiri setelah pulang ke Kelantan ketika berada di kilang makanan jenamanya sendiri, Sambal Nyet bersama para pekerja.

Sebagaimana dikongsikan dalam video, beberapa pekerjanya kelihatan terharu sehingga mengalirkan air mata apabila setiap dari mereka menerima sepucuk sampul berisi wang tunai.

“Saya baru balik semalam untuk berbuka puasa dengan anda semua. Cuma hari ni ada pengumuman istimewa untuk semua.

Pekerja-pekerja Kharulaming menerima bonus sempena Hari Raya.

“Masa ni semua dah teruja tapi mereka tak tahu sebenarnya saya sediakan special bonus untuk mereka sempena Hari Raya ni jadi mereka boleh sambung beli belah. Nak buat persiapan dengan beli itu dan ini. Semua boleh selesaikan awal-awal dengan bonus awal.

“Masa ni semua dah tepuk tangan. Keluar air mata (menangis) pun ada. Dengan saya sendiri pun nak keluar air mata masa tu. Tapi saya sangat hargai kerja keras mereka selama ni. Inilah sebahagian rezeki-rezeki kita kongsi dengan mereka jugalah,” jelas Khairulaming pada video tersebut.

Tidak cukup dengan pemberian ini, Khairulaming yang kini memiliki lebih 3.6 jumlah pengikut di Instagram turut memaklumkan dia bakal membawa pekerjanya bercuti selepas Hari Raya kelak.

Pada hari sama, pempengaruh berkenaan juga membawa mereka semua berbuka di sebuah hotel namun tidak dinyatakan lokasi tersebut.

Jelas KhairulAming, untuk bulan Ramadan sahaja, permintaan untuk jualan sambal adalah tiga kali ganda namun dia memilih untuk tidak menjual melebihi kapasiti ditetapkan demi menjaga kebajikan pekerjanya.

Khairulaming belanja kesemua pekerja berbuka puasa di sebuah hotel.

Perkongsian itu mendapat perhatian ramai terutamanya warganet.

Tindakan bijak pengasas Sambal Nyet ini yang bertungkus lumus menghargai semua pekerjanya menerima pujian ramai di media sosial.

Malah, ramai yang turut bertanyakan sekiranya terdapat kerja kosong di kilang tersebut untuk turut serta merasai pengalaman dan kelebihan diterima semua pekerjanya ini.

“MashaAllah. Tengok semua muka gembira. Sayang betul bos dekat pekerja. Demand pun banyak. The more you give, the more you get. Senyum bila dengar tak nak staf burnout. Ramai bosses fikir opposite. Semoga murah rezeki KA.

“Seronok tengok staff happy. Syarikat yang betul akan jaga staff sebab diaorang la tulang belakang company sebenarnya.

Komen netizen di Twitter.

“Aming, ada kerja kosong tak?” komen netizen pada hantaran asal.

Terdahulu, kejayaan bisnes Sambal Nyet miliknya menjadi tumpuan apabila berjaya mencecah jualan sebanyak RM21.5 juta bersamaan 1.5 juta botol dalam tempoh dua tahun sahaja.

Perniagaan itu sekali gus memberi kelebihan untuk dia membuka dua buah kilang untuk tujuan pemprosesan dan pengeluaran sambalnya serta membuka peluang pekerja di kampung halamannya sendiri dengan menggajikan penduduk tempatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan