SEBUAH taska yang didakwa terlibat dalam kes pengabaian kanak-kanak diberi notis peringatan dan diarah tutup buat sementara waktu. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata pihaknya memandang serius isu tular tersebut memandangkan berlakunya ketidakpatuhan Akta Taska 1984 di premis itu. "KPWKM memandang serius isu tular yang mendakwa berlakunya kes penderaan kanak-kanak di sebuah taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Hasil pemeriksaan JKM pada 29 Mac 2023, didapati berlaku ketidakpatuhan kepada Akta Taska 1984. "Pengusaha diberi notis peringatan untuk membuat penambahbaikan dengan kadar segera dan dalam proses penutupan sementara bagi tujuan menyediakan persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak dan meningkatkan kualiti pengasuhan di taska tersebut," ujar KPWKM menerusi satu kenyataan pada Sabtu. ARTIKEL BERKAITAN: Anak diserang, digigit! Guru taska didakwa abai kanak-kanak dalam bilik isolasi sejuk... tak mahu ganggu bayi lain sedang tidur KPWKM berkata, JKM akan bekerjasama dengan polis untuk memastikan kanak-kanak yang terlibat mendapat keadilan sewajarnya. "KPWKM melalui JKM merujuk kepada Akta Kanak-Kanak 2001 tidak akan berkompromi mengenai keselamatan mereka dan menjadi tanggungjawab pengusaha taska untuk memantau tugas pengasuh bagi memastikan kanak-kanak berada dalam keadaan selamat di bawah jagaan taska. "Sekiranya terdapat kecuaian pengasuh yang mengakibatkan kecederaan kepada kanak-kanak, tindakan segera dengan melaporkan kepada JKM dan pihak polis perlu dibuat.. “Dalam isu taska yang tular ini, JKM akan bekerjasama dengan pihak polis untuk memastikan kanak-kanak yang menjadi mangsa mendapat keadilan sewajarnya," ujar kenyataan itu lagi. Terdahulu, mStar melaporkan seorang wanita membuat luahan tentang anak perempuannya yang berusia setahun satu bulan, yang didakwa dianiaya di sebuah taska. Selain menjadi mangsa gigitan kanak-kanak lain, dia mendakwa anaknya dibiarkan di dalam bilik isolasi daif tanpa pengawasan orang dewasa. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube