KREATIF tak bertempat. Begitulah kisah seorang lelaki yang menggantikan kod unik Quick Response Indonesian Standard (QRIS code) peti derma masjid dengan kod QRIS untuk ke akaun bank peribadi miliknya. Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular, kelihatan seorang lelaki berbaju biru dan memakai kaca mata selamba melekatkan kod bar QRIS pada tabung khas yang diletakkan di masjid. Menerusi paparan skrin video, kejadian berlaku 6 April, pukul 10.37 pagi di Masjid Nurul Iman Blok M Square, Jakarta Selatan, Indonesia. Sebagaimana dikongsikan pelayar Zulfikar Akbar di Twitter, ini merupakan masjid kedua yang menjadi sasaran pelaku menggunakan modus operandi tersebut. "QR code tabung masjid pun jadi sasaran. Diganti dengan kod peribadi. "Semakin canggih cara pencuri beraksi. Mujurlah terakam oleh CCTV," tulisnya dalam ciapan yang tular. Perbuatan itu dikatakan turut dilakukan di masjid lain antaranya Masjidil Haram Al-Azhar, Kabayoran Baru, Jakarta Selatan. Menurut Ketua Pejabat Masjid Agung Al-Azhar Kebayoran Baru, Iding, kejadian itu berlaku beberapa hari lalu. Namun, Dewan Kemakmuran Masjid (DKM) Masjidil Haram Al-Azhar difahamkan mengetahui tentang perkara tersebut pada Ahad malam. "Kejadian itu baru mula disedari pada Ahad malam, tetapi jika dilihat melalui kamera CCTV, penggantian kod QR itu berlaku sejak 6 April lalu," kata Iding memetik laporan Tribunnews. Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Jabatan Komunikasi Bank Indonesia (BI), Erwin Erwin Haryono berkata, sistem pendigitalan sebenarnya memberikan pelbagai kemudahan dan kelebihan kepada banyak pihak. “Tetapi pada masa yang sama, jenayah sentiasa ada termasuk mereka yang mengambil kesempatan atas kemudahan ini,” kata Erwin pada Isnin. Dia turut merayu kepada pengguna agar berhati-hati menggunakan QRIS dan menjadikan kes itu sebagai satu pengajaran. Walaupun kejadian berlaku di negara seberang, tetapi rata-rata masyarakat Malaysia turut memberikan perhatian terhadap isu tersebut. Ia umpama memberi peringatan kepada semua kerana jenayah sedemikian cenderung untuk berlaku di mana-mana sahaja kita berada. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube