SATU pemandangan yang sungguh mengerikan. Laporan orang awam membawa kepada penemuan rangka mayat seorang wanita yang telah mereput di dalam sebuah beg bagasi di kios perhentian bas terbiar berhadapan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kulai, Johor pada Rabu. Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, mengesahkan penemuan mayat wanita dipercayai berusia lingkungan 25 tahun itu susulan laporan diterima pihaknya kira-kira jam 1.50 petang. Beng Yeow berkata, berdasarkan pemeriksaan awal, tempoh kematian dan umur mangsa sukar diramal berikutan keadaan mayat sudah reput lebih 50 peratus. "Mayat kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan hasil bedah siasat mendapati wanita itu meninggal dunia sejak dua minggu lepas serta menemukan kecederaan pada bawah kulit kepalanya "Bagaimanapun, kita masih menunggu siasatan makmal yang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis. Beng Yeow berkata kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihaknya memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil membantu siasatan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube