suria

Gadis diberkas selepas curi kad ATM kawan, keluarkan duit sampai 3 kali siap beli telefon mahal

Gadis yang mencuri kad ATM milik rakannya itu diberkas polis pada Jumaat lalu.

KISAH seorang gadis berusia 21 tahun yang didakwa mencuri kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik rakannya kecoh diperkatakan netizen di media sosial.

Terbaharu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pelaku diberkas di sebuah premis di Pandan Perdana, Ampang Jaya pada Jumaat lalu.

Polis sebelum ini menerima laporan daripada mangsa berhubung pengurangan wang dalam akaun bank miliknya sebanyak RM8,200.

Ketika serbuan, polis turut merampas sekeping kad ATM serta sebuah telefon bimbit Apple jenis iPhone 14 Pro Max yang dipercayai dibeli menggunakan transaksi akaun bank mangsa, lapor Berita Harian.

Terdahulu, abang kepada mangsa membuat hebahan di Facebook selepas mereka gagal menjejaki pelaku yang mencuri kad ATM milik adiknya pada hari pertama Ramadan.

"Tiga hari sebelum puasa, si pencuri datang rumah adik saya. Katanya tak ada tempat nak tuju. Jadi adik saya benarkan dia naik ke rumah dan tinggal bersama. Mereka sambut hari pertama puasa bersama.

pencri2

Wajah pelaku yang ditularan menerusi Facebook.

"Pada 23 Mac, mereka keluar beli barang dapur. Bila sampai kaunter, adik saya guna kad debit. Lepas tu dia minta pelaku pegang purse sebab nak angkat barang.

"Jam 5 petang hari sama, waktu adik saya memasak juadah berbuka, pencuri ni minta kebenaran nak pergi Sunway Putra Mall. Alasan nak beli air. Dia pergi CIMB Sunway Putra Mall dan keluarkan duit RM5,000.

"Macam mana pencuri ni boleh tahun nombor pin? Waktu bayar barang dapur, dia teka daripada kombinasi nombor kad pengenalan adik saya," dakwa pemuda itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sakan berjoli guna kad ATM milik warga emas, siap bawa isteri beli iPhone... polis giat buru suspek

Bukan sekali, sebaliknya dia berkata gadis itu melakukan beberapa lagi transaksi sebelum mangsa menyedari wang di dalam akaun bank miliknya berkurang pada 26 Mac.

"Esoknya 24 Mac dia kata nak balik Genting sebab nak kerja. Dia pulangkan handbag adik saya yang dia pinjam, tapi kad ATM dia curi.

"Sebelum balik Genting, dia pergi Berjaya Time Square dan keluarkan RM3,000 di ATM Bank Simpanan Nasional (BSN) lebih kurang jam 1.51 petang.

"Ketika perjalanan balik Genting, dia singgah Public Bank Jalan Gombak dan keluarkan lagi RM2,000. Maka licinlah duit dalam bank adik saya.

"26 Mac baru adik sedar duit dalam akaun tinggal beberapa ratus," jelas pemuda itu lagi.

Hebahan tentang taktik licik pencuri itu dibuat menerusi Facebook sehingga membawa kepada penahanannya.

"Alhamdulillah, dengan bantuan hamba Allah dan semua rakyat Malaysia. Pencuri dapat juga ditangkap. Berjuta ucapan terima kasih buat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Unit Jenayah dan Komersial Dang Wangi atas kerjasama dari awal sampai habis," ujar abang mangsa menerusi Facebook.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain