suria

Polis rampas pemetik api... tahan lelaki dipercayai terlibat dalam kebakaran 13 motor, 4 skuter elektrik

Seorang lelaki ditahan selepas 13 motosikal dan empat skuter elektrik terbakar di ibu negara.

SEORANG lelaki berusia 34 tahun ditahan berhubung kes kebakaran yang memusnahkan 13 motosikal dan empat skuter elektrik di hadapan sebuah pusat beli-belah popular di Kuala Lumpur pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, suspek ditahan dalam tempoh beberapa jam selepas kejadian dan dia direman sehingga 19 April.

“Kita turut merampas pelbagai barangan termasuk motosikal, topi keledar, beberapa helai pakaian, sepasang sarung tangan dan pemetik api.

“Kami menyiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Polis masih menyiasat motif dan punca kejadian.

“Kami menerima 10 laporan polis berhubung kejadian itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Rider tetap senyum walau motor tiba-tiba terbakar ketika hantar bungkusan

“Kami menggesa mereka yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Dilaporkan 13 motosikal dan empat skuter elektrik musnah dalam kebakaran di hadapan sebuah pusat beli-belah popular petang Khamis.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, dalam kejadian 3.45 petang itu, seramai 15 anggota bomba bersama tiga jentera dari balai bomba Tun Razak dan Keramat bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati sembilan motosikal dan empat skuter elektrik terbakar sepenuhnya, manakala empat lagi motosikal terbakar antara tiga hingga 20 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut jurucakap itu, api berjaya dikawal pada jam 4.04 petang dan tiada kemalangan jiwa berlaku.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian yang terlibat masih dalam siasatan. - The Star.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain