suria

Nusaybah Maszlee gondol 6 anugerah siswa cemerlang di Qatar, pelajar Asia Tenggara pertama raih CGPA 4.0 setiap semester

Nusaybah cemerlang di Qatar.

MEMBANGGAKAN! Perkataan yang sesuai untuk menggambarkan kepintaran anak sulung bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik selepas berjaya merangkul enam anugerah di Universiti Georgetown, Qatar.

Melakar sejarah tersendiri, Nusaybah yang merupakan pelajar sarjana muda jurusan Politik dan Hubungan Antarabangsa mendapat Suma Cum Laude (pelajar paling cemerlang), anugerah pingat Dekan, tesis terbaik.

Malah dia turut menerima anugerah Pelajar Paling Cemerlang pengkhususan Politik dan Hubungan Antarabangsa.

Gadis berusia 24 tahun itu juga merupakan pelajar Malaysia dan Asia Tenggara yang pertama mencapai markah keseluruhan bagi semua semester (CGPA) 4.0.

Medal kecemerlangan yang diterimanya.

Medal kecemerlangan yang diterimanya.

Ekoran kecemerlangannya itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah selain berharap dapat menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Malah kejayaan anak kepada pasangan Dr Maszlee dan Dr Hamidah Mat itu menjadi buah mulut masyarakat selain tular di laman sosial.

Dalam pada itu, ketika menjawab komentar warga maya di laman sosial yang bertanyakan tips mendidik anak-anak, Maszlee menyatakan, dia hanya memberi penekanan terhadap pembacaan dan corak pemikiran kritis.

Memetik laporan Harian Metro, dia mengakui bahawa anaknya, Nusaybah adalah seorang yang kuat membaca, berfikiran kritis dan rajin berusaha sendiri.

Selain itu, anaknya juga banyak melakukan analisa serta tidak mudah mengikut secara membuta tuli.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain