TINDAKAN seorang wanita menghasilkan konten di media sosial serta mewujudkan grup Telegram mengandungi unsur lucah akhirnya mengundang padah. Terbaharu, individu tersebut bakal dipanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak lama lagi untuk disiasat. Menerusi satu kenyataan pada Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, beliau juga mengarahkan Jakim untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berkaitan kandungan yang terkandung dalam media sosial untuk diambil tindakan lanjut. "Saya mengarahkan Jakim untuk memanggil dan membuat pertemuan bersama pihak yang berkaitan dengan memberikan nasihat serta bimbingan," ujarnya dalam kenyataan berkenaan. Kesal dengan isu berkenaan, Mohd Na'im berkata tidak seharusnya perkara berkaitan hubungan intim suami isteri dibicarakan secara terbuka. "Apatah lagi topiknya dengan menggunakan bahasa berbaur lucah. Ini bukan akhlak Islam," ujarnya lagi. ARTIKEL BERKAITAN: Wanita jadi ‘penasihat’ kaum isteri bab layan batin suami... kongsi teknik seks, kisah dalam kelambu! Ramai desak pihak berkuasa ambil tindakan Pada Jumaat, mStar melaporkan hantaran yang dikongsikan warga maya di media sosial yang mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap seorang wanita, gara-gara konten yang dihasilkannya dianggap mengandungi unsur kelucahan melampau secara terbuka. Wanita tersebut ligat membuat konten di platform Facebook dan TikTok berkaitan tugas serta peranan isteri dalam rumah tangga khususnya soal nafkah batin. Bukan itu sahaja, wanita tersebut didakwa mencipta sebuah grup khusus di Telegram, 'Isteri Batin Idaman Suami' yang dijadikan sebagai tempat para suami isteri meluahkan masalah berkaitan hubungan intim serta medium untuknya menasihati golongan berkenaan. Apa yang mengejutkan, perbualan ahli grup berkenaan ternyata terlalu terbuka bercerita mengenai perkara yang berlaku 'dalam kelambu' tanpa tapisan, yang secara tidak langsung bertentangan dengan ajaran agama Islam. Paparan perbualan ahli-ahli grup berkenaan dikongsikan oleh seorang pelayar di Twitter sebagai bukti. Akaun Facebook wanita tersebut sehingga kini diikuti lebih 45,000 akaun, manakala di TikTok, dia mengumpul lebih 97,000 jumlah pengikut. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube