SEORANG wanita tampil membuat permohonan maaf susulan konten yang dibuatnya di media sosial serta mewujudkan grup Telegram mengandungi unsur lucah menerima kecaman banyak pihak. Dalam satu kenyataan di Facebook, wanita berkenaan memohon maaf berikutan pandangannya telah menimbulkan kekecohan. "Saya memohon jutaan maaf atas kesilapan juga kekhilafan dari pandangan saya yang telah menimbulkan kekacauan dan ketidakselesaan antara kita. "Apa yang berlaku itu adalah suatu pengajaran dan pertanggungjawaban ke atas diri saya," katanya. Menurut wanita itu lagi, apa yang dilontarkan itu hanyalah pendapat dan pandangannya sendiri. "Apa yang telah saya lontarkan sama ada dalam Facebook mahupun grup, adalah pendapat dan pandangan saya sendiri yang tidak bersangkut paut dengan madrasah atau mana-mana guru saya. "Semoga permohonan maaf ini dapat menjernihkan tanggapan dan suasana tidak kondusif antara warga di media sosial sejak kebelakangan ini. "Kepada Allah saya memohon ampun, kepada Rasulullah saya mengharap syafaat, kepada kalian saya memohon maaf," katanya lagi. Wanita berkenaan tampil membuat permohonan maaf. Pada Jumaat, mStar melaporkan hantaran yang dikongsikan warga maya di media sosial yang mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap seorang wanita, gara-gara konten yang dihasilkannya dianggap mengandungi unsur kelucahan melampau secara terbuka. ARTIKEL BERKAITAN: "Bukan akhlak Islam!" - Jakim mula bertindak, bakal bersemuka wanita jadi penasihat pemuas batin suami ARTIKEL BERKAITAN: Wanita jadi 'penasihat' kaum isteri bab layan batin suami... kongsi teknik seks, kisah dalam kelambu! Ramai desak pihak berkuasa ambil tindakan Wanita tersebut ligat membuat konten di platform Facebook dan TikTok berkaitan tugas serta peranan isteri dalam rumah tangga khususnya soal nafkah batin. Bukan itu sahaja, wanita tersebut didakwa mencipta sebuah grup khusus di Telegram, yang dijadikan sebagai tempat para suami isteri meluahkan masalah berkaitan hubungan intim serta medium untuknya menasihati golongan berkenaan. Apa yang mengejutkan, perbualan ahli grup berkenaan ternyata terlalu terbuka bercerita mengenai perkara yang berlaku 'dalam kelambu' tanpa tapisan, yang secara tidak langsung bertentangan dengan ajaran agama Islam. Paparan perbualan ahli-ahli grup berkenaan dikongsikan oleh seorang pelayar di Twitter sebagai bukti. Akaun Facebook wanita tersebut sehingga kini diikuti lebih 45,000 akaun, manakala di TikTok, dia mengumpul lebih 97,000 jumlah pengikut. Susulan kekecohan itu juga, wanita berkenaan bakal dipanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk siasatan. Menerusi satu kenyataan pada Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, beliau juga mengarahkan Jakim untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berkaitan kandungan yang terkandung dalam media sosial untuk diambil tindakan lanjut. "Saya mengarahkan Jakim untuk memanggil dan membuat pertemuan bersama pihak yang berkaitan dengan memberikan nasihat serta bimbingan," katanya. Kesal dengan isu berkenaan, Mohd Na'im berkata tidak seharusnya perkara berkaitan hubungan intim suami isteri dibicarakan secara terbuka. "Apatah lagi topiknya dengan menggunakan bahasa berbaur lucah. Ini bukan akhlak Islam," ujarnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube