suria

Cuak diterjah teman wanita, lelaki ‘kantoi’ di rumah perempuan lain parah jatuh tingkat 3

Mangsa terjatuh dalam keadaan tertiarap sewaktu cuba melarikan diri. -Foto hiasan

CUBAAN seorang lelaki untuk melarikan diri sewaktu diterjah teman wanita ketika berada di rumah kenalan perempuan akhirnya mengundang padah.

Lelaki tersebut terjatuh dalam keadaan tertiarap sewaktu cuba melarikan diri dari tingkat tiga di lorong belakang deretan rumah kedai di Jalan SBC 3, Batu Caves, Gombak, Selangor, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima aduan daripada orang awam yang menemukannya kira-kira pukul 6.30 petang.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa merupakan seorang lelaki warga asing berusia 30an yang dalam perjalanan berjumpa kenalan wanitanya di tingkat tiga bangunan tersebut.

"Semasa mangsa berada di dalam rumah tersebut, teman wanita mangsa turut ke rumah tersebut untuk mencari mangsa.

"Mangsa yang cuba melarikan diri melalui tingkap belakang rumah terjatuh dan kini berada dalam keadaan kritikal,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Zainal, mangsa kini ditempatkan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Selayang untuk menerima rawatan dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Tambah beliau, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Irwan Mohamad di talian 019-5712477 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain